09 March 2007

ANTARA PUJI DAN IKHLAS

Nampaknya pemuisi-pemuisi wanita kita saling puji-memuji, bagai ada rahsia di sebalik rahsia.

~Engkau cemburu?

Tidak sesekali. Daku cuma keliru.

~Maknanya puisimu tidak laku?

Mungkin puisiku desir angin cuma, yang tidak menghadirkan dingin di jiwa wanita. Ah, daku panasaran!

~Ramai lagi wanita yang tersentuh dengan puisimu itu. Cuma mereka kelu seribu kata, tidak ingin berbahasa denganmu. Malu agaknya. Bukankah gurumu itu seorang wanita?

Ya, guruku seorang wanita berjaya, berhati waja bersemangat kental!

~Nah, bukankah sudah banyak puisimu yang dipilihnya untuk diterbitkan?

Namun, daku tidak tahu penerimaan wanita-wanita lain.

~Itu jangan dikau risaukan. Puisimu itu tidak memerlukan puji-pujian.

Daku bukan meminta pujian.

~Jika begitu, apa?

Daku mahukan belaian kasih daripada wanita.

~Eh, ke situ pula bahasa dikau!

Bukannya belaian kasih yang tergambar di dalam otakmu itu. Akan tetapi sapaan rindu wanita yang pernah mengelukan kata, wanita yang membuat daku terpempan, terpegun. Daku pernah teruja kerananya.

~Walaupun dengan sepicing jelingan?

Bagaimanakah dikau dapat membaca fikiranku?

~Ah, daku tahu sangat olahmu itu! Jangan begitu sahabatku. Berpuisi mestilah ikhlas dan bersungguh-sungguh. Bukannya meminta balasan.

Adakah dengan berharap begitu daku dikira meminta balasan?

~Yang perlu dikau harapkan adalah keredhaan Allah, biar pun tanpa keredhaan manusia.

Syahdunya katamu itu.

~Bukankah daku ini sahabatmu yang sejati.

Sejati?

~Ya. Sahabat sejati sentiasa berada di sisi walaupun hujan atau panas, senang mahu pun susah. Teruskanlah dengan puisimu itu, sehingga benar-benar menjadi perjuanganmu.

Terima kasih sahabat. Ya, daku akan terus berjuang! Akan tetapi, daku masih teringat akan dia…


Subhanallah… Alhamdulillah… Lailahaillallah… Allahuakbar…

3 comments:

Anonymous said...

Ya, teruskan perjuanganmu sehingga kau berada betul-betul di puncak kejayaan.

Tapi ingat, tempat tinggi boleh mendatangkan rasa gayat. Err... kau gayatkah?

~zalisa maz~

MYA MARJA said...

Jika kaulihat daku berada di puncak itu, yang dikau lihat ialah seorang lelaki yang seang berdiri di puncak sepi...

MYA MARJA said...

Jika kaulihat daku berada di puncak itu, yang dikau lihat ialah seorang lelaki yang sedang berdiri di puncak sepi...