09 March 2007

LENA DI DALAM DAKAPANMU

EPISOD I
Semalam dan kelmarin, daku menjadi Pengerusi Teknik Pertandingan Catur peringkat daerah MSSMD tempat kumencari rezeki ini. Pertandingan itu melibatkan sekolah rendah dan sekolah menengah mengikut kategori masing-masing. Tempatnya di sebuah sekolah aliran agama berasrama penuh. Walaupun aliran agama, nama sekolah ini tiada langsung elemen agama; tiada perkataan agama pun pada nama sekolah tersebut.

EPISOD II
Beberapa orang pelajar perempuan dari sekolah agama itu ditugaskan untuk membantu urusetia pertandingan untuk mengisi maklumat dan markah ke dalam borang-borang tertentu. Setiap kali pertandingan selesai, mereka bertugas untuk mencatat markah yang diperoleh. Salah seorang daripada mereka membawa sebuah novel terbitan PTS One, kalau tidak silap tajuk novel itu ‘Amnestia’, berkulit putih dan ada gambar gitar dalam bentuk lakaran pena. Tipis sahaja novel itu. Daku sempat membelek-beleknya. Banyak unsur motivasi di dalamnya. Di dalam hatiku berdetik, “Wow, novel PTS!”

EPISOD III
Di sebelah pelajar perempuan itu, tiga orang membawa bersama mereka buku teks dan buku latihan Matematik Tambahan yang sepenuhnya dalam bahasa Inggeris. Lalu, tajuknya bukan lagi Matematik Tambahan sebagaimana zaman daku menjadi pelajar sekolah menengah dahulu, tetapi menjadi ‘Additional Mathematic’. Semasa senggang, mereka sempat memanipulasikan masa untuk menyiapkan latihan diberi. Daku hanya menjeling-jeling soalan yang mereka buat, kerana tugasku tiada rehat.

EPISOD IV
Semasa pertandingan catur sedang berjalan, seorang daripada guru pelajar perempuan di hadapanku itu datang. Guru itu sempat bergurau sewaktu pelajar-pelajar perempuan itu berbual-bual sementara menunggu tamat pertandingan tujuh pusingan itu.
Antara gurauan itu merupakan soalan rambang, berbunyi, “Sila bina ayat menggunakan perkataan ‘lena’.” Mungkin juga guru itu mengajarkan mata pelajaran Bahasa Melayu.
Lalu dijawab oleh salah seorang pelajar perempuan itu, “Aku lena di dalam dakapanmu.”
Kemudian, dia ketawa kecil dengan rakan di sebelahnya. Kukira guru itu tidak mendengarnya kerana perlahan sahaja nadanya. Soalan guru itu pun tidak berjawab secara rasmi.

EPISOD V
Daku hanya memasang telinga ketika perbualan antara pelajar perempuan dan guru itu kerana daku masih mengisi borang ‘pairing card’ atau dalam bahasa Melayu yang janggal kudengar iaitu kad padanan untuk pertandingan catur itu. Daku buat-buat tidak mendengar kerana daku tidak mahu masuk campur. Pada masa yang sama, di telingaku bergema ayat pelajar perempuan itu: Aku lena di dalam dakapanmu…

EPISOD VI
Di dalam hatiku berkata-kata: Agaknya kata-kata itu pengaruh daripada novel cinta atau novel popular. Kata-kata hatiku ini disebabkan daku pernah menyelak-nyelak beberapa lembaran novel cinta tidak lama dahulu. Isi kandungan dan ayat demi ayat benar-benar berterus terang. Jika ada situasi yang wataknya berpeluk-pelukan antara bujang dan dara mahu pun antara suami dan isteri, maka ayat demi ayat itu dituliskan dengan jelas perbuatan mereka, siap dengan dialog yang merengek manja.

EPISOD VII
Di dalam hatiku berkata lagi: Tidakkah pelajar perempuan itu menyedari bahawa daku mendengar dalam diam kata-katanya itu, tetapi daku yang buat-buat seperti tidak mendengar? Jika pelajar perempuan dalam aliran sekolah agama pun menzahirkan kata-kata seperti itu, maka andai benar tekaanku tentang pengaruh novel cinta dan novel popular, situasi itulah antara pengaruhnya.


Subhanallah…

9 MAC 2007.

1 comment:

Anonymous said...

Adakah kau maksudkan novel-novel cinta itu tidak memberi sebarang faedah?

Zulaikha Adrini.