14 February 2007

SIPUT BABI DAN SIPUT SEDUT

Dahulu sewaktu usiaku mencecah kira-kira lima dan enam tahun, ibuku sering mengajakku mengutipi siput babi di tepi jalan. Jalan sempit berpasir menuju ke Bagan Teluk Rhu itu basah disimbahi embun pagi. Rumput-rumput subur di kiri dan kanan jalan turut basah. Di situlah pada waktu pagi begitu, banyak siput babi yang terengsot-engsot perlahan di celah-celah rumput dan ada yang bersiar-siar di jalan berpasir itu. Kalau nasib kurang baik kena langgar kenderaan.

Bakul yang diperbuat daripada buluh menjadi bekas kepada siput-siput yang daku kutip. Satu persatu daku kutip siput itu yang menyorok di balik rumput-rumput. Ada juga yang menyerah diri, mudah sahaja daku mengambilnya. Hendak dibuat apa siput babi itu? Mahu dimakankah?

Baru-baru ini daku amat terkedu apabila daku melihat sebuah keluarga miskin yang menghadap hidangan siput babi dalam siaran 'Bersamamu' di TV3. Itu berlaku tidak silap daku di negeri Sabah. Ada juga keluarga pada zaman senang ini (bagi yang senang) memakan siput babi! Allahuakbar... Tidakkah sama nasibnya dengan nasib daku kira-kira tiga puluh tahun dahulu?

Oh, tidak! Sama sekali tidak!

Walaupun kemiskinan mencengkam, tetapi rezeki tuhan itu terlalu luas puncanya. Tidaklah sampai daku dan keluarga memakan siput babi itu, melainkan itik peliharaan ibuku yang memakannya. Setelah penuh satu bakul buluh, dibawa balik siput babi itu, dan kemudian dihentam dengan belakang cangkul dan sebatang kayu sebesar betis untuk dihancurkan. Nah, jadilah hidangan lazat kepada itik-itik sereban yang berkuek-kuek tidak henti-henti!

Sampai sekarang daku masih tertanya-tanya bagaimanakah siput itu mendapat namanya. Mengapakah babi yang dipilh sebagai kemajmukan kata kepada siput itu? Mengapakah bukan siput sanggul atau siput darat atau yang lain-lain yang tidak perlu disebut perkataan babi itu? Daku lihat tiada pun rupa babi pada siput itu.

Siput sedut? Bagi penggemar makanan laut, hidangan siput sedut yang dimasak dengan pelbagai resepi pasti sukar dilepaskan. Siput-siput sedut juga selalu daku kutip di dalam hutan bakau di tepi laut. Siput-siput sedut ini menjalar pada akar dan batang pokok kayu bakau, selain bersepah-sepah di atas lantai hutan. Tidak semua tempat ada siput ini, asalkan hutan bakau sahaja ada siput sedut, tidak! Ia juga ada musim-musimnya untuk dijumpai. Kalau nasib untung (rezeki datang), maka berlambak-lambaklah di hadapan mata. Biasanya siput ini daku cari sewaktu kebetulan sedang mencari anak pokok kayu bakau untuk dibuat batang atap nipah.

Selepas menebang pokok-pokok yang sesuai (bukan seperti tebang balak) dan dirasai mencukupi, semasa berehat-rehat itu, daku kutip satu persatu rezeki tuhan yang menjalar di muka bumi ini. Setelah penuh satu bekas plastik atau pun satu tin biskut, baliklah daku ke rumah. Ibuku biasanya memotong dahulu hujung tajam (ekor?) siput sedut ini menggunakan belakang parang, untuk memudahkan disedut semasa memakannya. Biasanya siput sedut ini dimasak sup serai sahaja. Wah, sedapnya!

Kini, siput sedut ini selalu juga daku jumpa di pasar. Kalau beli pun tidak banyak. Semasa memakannya pun tidak selazat seperti yang daku makan kira-kira tiga puluh tahun dahulu, walaupun waktu itu cuma dimasak dengan resepi sup serai!

Subhanallah..
Alhamdulillah...

3 comments:

Anonymous said...

Sesekali menghimbau ingatan lama seronok jugakan? Saya juga pernah mengutip siput khinzir (:D) buat makanan itik.

~zalisa~

Anonymous said...

Saudara Mya,

Saya Kamal, yg duduk di sebelah saudara mas akelas Pn Ainon.

Cerita yg hebat tidak perlu kata-kata ulasan. Ianya membuatkan kita terdiam dan merenung diri ... mencari makna sebuah kehidupan itu.

MYA MARJA said...

Sdr. Zalisa,
Jika daku dapat kembali ke zaman silam, akan kukatakan: Marilah bersama-sama mengutipi siput-siput itu...

Sdr. Mal,
Kunjunganmu ke pondok burukku ini.. ah, daku amat mengagumi lewat puisimu itu.. terima kasih, sahabat!