20 February 2007

SIKAP ORANG KITA: ISU BANJIR

Yang ingin aku perkatakan bukanlah soal hukum kerana aku bukan ahli hukum, tetapi soal sikap orang kita. Mengapakah perlu ada sesuatu konsert, baharu kita datang berduyun-duyun dan bersedia mengeluarkan wang untuk disalurkan kepada pihak yang memerlukan, mangsa tsunami dan banjir baru-baru ini misalnya?

Pihak penganjur konsert mengenakan bayaran sekian-sekian ringgit, pihak artis berdatangan melontar suara tanpa bayaran, sambil memberi hiburan, memberi kata mulia: Marilah sama-sama kita membantu saudara kita yang ditimpa malapetaka. Bencana itu bila-bila dan di mana-mana. Kita tidak tahu nasib bakal menimpa kita masa depan. Jadi, sementara punyai kesempatan untuk membuat amal, hulur-hulurkanlah sedikit wang ringgitmu untuk meringankan beban.

Kalau mahu dihulurkan tenaga dan masa, memang cukup liat untuk kita beri, termasuklah kita para penulis (aku baru belajar untuk menjadi seorang penulis). Tidak kira di mana-mana pun kita berdiri, berbaju dan berkasut apa pun yang kita pakai, mengapakah sikap kita begitu liat untuk menghulurkan bantuan? Yang sudah memberi baguslah, bagi yang belum?

Teringat aku pada tulisan SM Zakir di dalam blognya, para penulis sastera kita ini hampas! Tiada respon terhadap misi kemanusiaan, bercakap kosong, mencerca orang yang tidak mulia… (penulis blog pun dua kali lima, asyik sangat pada blog, dalam realiti kehidupan bagaimana?) Pada pendapat aku, SM Zakir bengang sangat kepada rakan-rakan penulis mungkin kepada yang hanya berdiam diri dan berpeluk tubuh sewaktu banjir melanda Johor baru-baru ini. Beliau bersama-sama rakan PENAnya yang lain memberi bantuan kemanusiaan di Parit Joyo 6, Seri Medan, Parit Sulong; ya, tanpa apa-apa promosi dan publisiti pun. Bukan seperti yang lain-lain itu.

Berbalik kepada sikap orang kita, tunggu orang datang memberi hiburan, baru hendak berbondong-bondong menghulurkan wang, itu pun sebab membayar tiket menyaksikan konsert. Kalau konsert percuma, agaknya berapa ringgit sahajalah tabung kemanusiaan itu dapat?

Akhir kata, terima kasih kepada yang prihatin!

Subhanallah…

4 comments:

Unknown said...

Mana tahu mereka berpeluk tubuh? Entah2 mereka beri bantuan melalui orang lain. Almaklum, orang terkenal. Mereka malu nak perkenalkan diri di khalayak.

Anonymous said...

Ya, benar. Setuju.

Mana tahu mereka berpeluk tubuh? - kata-kata orang positif.

Mereka berpeluk tubuh tanpa beri bantuan! - kata-kata orang negatif.

Mungkin mereka berpeluk tubuh. -kata-kata orang berhati-hati, dan membuat andaian.

~Mya Marja

Anonymous said...

Assalamualaikum,

Salam perkenalan,

Tidak semua orang boleh melakukan kerja-kerja amal secara sukarela. Kita doakan semoga mangsa2 banjir tabah dan sabar menghadapi ujian Allah.

Untuk pengetahuan saudara, blog sdr ini sama layoutnya dengan blog saya. Sebelum ini, seorang sahabat juga sama layout dengan saya, dan saya berusaha menukar layoutnya....tapi kali ini apabila buka blog sdr. ..terkejut..ah malaslah nak tukar layoutnya. Tidak mengapa, biar sama layoutnya tapi tidak sama isinya. Sudi-sudikanlah jenguk blog saya di http://saridahamid-kuinginbicara.blogspot.com/

MYA MARJA said...

Terima kasih Puan Saridah kerana berkunjung.

Sama tapi tak serupa
Serupa tapi tak sama
Namun kesamaan dan keserupaan adalah lebih penting kepada tujuan kita menulis blog: ingin menyampaikan sesuatu, yang memberi makna dan kemaknaan. Mudah-mudahan...

Subhanallah...

~Mya Marja