16 May 2011

SELAMAT HARI GURU 2011: SEJAHTERA UNTUKMU SEMUA GURU

Salam kepada semua yang membaca catatan ini. Salam kepada semua guru. Hari ini merupakan hari khas bagi mengenang semula kehadiran guru dalam hidup kita. Kini, setelah bergelar guru berbelas tahun lamanya, masih juga kenangan lalu berlegar di ingatan; kenangan bersama guru-guru.

Antara kenangan yang tidak mungkin terpadam dari ingatan:

i) Cikgu Yahya: Sakit Perut

“Mari ke hadapan kelas,” Cikgu Yahya memanggil Ahmad sewaktu kelas akan bermula.

“Berikan sebab mengapa kamu tidak hadir ke sekolah semalam?” tanya Cikgu Yahya.

Ahmad terdiam seketika, lalu menjawab, “Saya sakit perut.”

“Kamu sakit perut? Tadi, Hassan beritahu cikgu bahawa kamu sakit kepala. Mengapakah kamu memberi jawapan yang berbeza pula kali ini?”

Ahmad terdiam sambil memandang lantai simen.

“Pagi semalam saya tanya abang kamu, dia kata kamu malas ke sekolah. Apakah yang berlaku sebenarnya?” tanya Cikgu Yahya lagi.

“Saya sakit perut dan sakit mata,” jawab Ahmad.

“Kamu jangan sengaja mereka-reka alasan. Kamu tahu berapa hari kamu tidak hadir ke sekolah dalam penggal satu ini?” guru kelasnya bertanya lagi.

Dia menggeleng-gelengkan kepala dan menjawab ringkas, “Tidak tahu.”

“Termasuk semalam, sudah empat belas hari! Apakah yang bermain dalam fikiran kamu sebenarnya? Cuba ceritakan kepada cikgu,” guru kelasnya meminta jawapan.

Dia hanya mendiamkan diri apabila diasak dengan pertanyaan seperti itu. Dia hampir menitiskan air mata. Dia memalingkan sahaja muka ke lantai sambil berdiri tegak.

“Hari ini kamu kata sakit perut dan sakit mata, minggu lepas kamu kata demam, esok lusa entah apa-apa lagi alasan kamu,” rungut guru kelasnya.

Dia tetap mendiamkan diri dan berdiri tegak.

“Saya selaku guru kelas darjah tiga ini berasa bertanggungjawab atas ketidak hadiran kamu ini. Guru besar sudah memanggil saya bertanyakan hal ini. Jadi, saya harap selepas ini kamu mesti hadir ke sekolah, jangan sesekali ponteng,” Cikgu Yahya memberi ingatan.

Dia menganggukkan kepala.

“Sekarang kamu boleh duduk di tempat duduk kamu. Kita mulakan pelajaran Bahasa Melayu sekarang.”

Ahmad menuruti arahan guru kelasnya itu.

“Keluarkan buku teks Bahasa Melayu kamu. Lain kali keluarkan sahaja buku teks itu sebelum saya masuk ke dalam kelas. Jangan tunggu saya suruh!” keras suara Cikgu Yahya memberikan arahan kepada kelas.

Murid-murid dalam darjah tiga itu akur arahan daripada Cikgu Yahya. Kesemua murid menikus apabila beliau masuk ke dalam kelas, apatah lagi sewaktu berkata-kata.

“Sila bangun. Baca perenggan pertama muka surat lapan belas buku teks,” Cikgu Yahya memberikan arahan kepada salah seorang murid.

Nazar bangun dari tempat duduk, lalu membaca, “Ke.. ke.. ke.. lu..ar.. ga.. .”

“Sudah berapa kali saya cakap, buat latihan membaca di rumah! Bukan sampai di sekolah baharu mahu membaca. Mari ke sini, bawa sekali buku teks kamu itu!” suara Cikgu Yahya meninggi.

Nazar menurut arahan tanpa banyak bicara. Dia menundukkan kepala di hadapan gurunya yang masih bujang itu.

“Hulurkan tangan kamu,” Cikgu Yahya sudah bersedia dengan rotan di tangan.

Tiga libasan singgah ke atas tapak tangan Nazar. Berbirat lagi tapak tangannya. Terdapat tiga jalur merah di tapak tangan Nazar. Dia tidak menangis, atau pun menunjukkan reaksi kesakitan; mungkin disebabkan sudah acap kali terkena libasan rotan itu.

“Sekarang baca buku teks kamu di hadapan kelas. Selagi belum betul bacaan kamu, jangan duduk,” arah Cikgu Yahya.

“Kasihan Nazar! Dia tidak pandai membaca, malas pula berlatih membaca,” bisik Amin yang duduk bersebelahan dengan Ahmad.

“Hari-hari dia dirotan oleh Cikgu Yahya. Jika kita yang terkena rotan, sudah pasti kita menangis,” sampuk Jamil yang duduk di belakang Amin.

“Bapa Nazar orang kaya. Lembu bapa dia banyak, kebun pun banyak. Sebab itu mungkin sikap Nazar begitu,” kata Ahmad.

ii) Cikgu Suparman: Bakat

Ahmad telah mendapat kawan baharu yang peramah pada hari pertama di sekolah baharu. Kawan-kawan baharunya yang lain juga tidak sombong, cuma tidak serapat seperti Khairuni. Kawan-kawan lelakinya yang baharu hampir kesemuanya pandai bermain bola sepak. Dia yang begitu disegani di sekolah lamanya seperti tenggelam bakatnya. Ditambah dengan ketangkasan kawan-kawan sekelasnya yang baharu, ternyata dia jauh ketinggalan.

Sewaktu mata pelajaran pendidikan jasmani, Cikgu Suparman selalu menyuruh murid-murid darjah empat bermain bola sepak. Dalam permainan seperti itu, Ahmad tidak dapat menyaingi kepantasan kawan-kawan baharunya bermain bola sepak. Akhirnya dia memilih untuk menjadi pemain pertahanan sahaja. Jika dia mendapat bola, sesekali sahaja dia menyepaknya. Sikapnya yang memencilkan diri itu menyebabkan Ahmad tidak menjadi pemain utama di dalam kelasnya, jauh sekali menyertai pasukan sekolah. Dalam bidang sukan, ternyata bakatnya terlalu jauh ketinggalan berbanding kawan-kawan baharunya.

“Jangan menjadi pemalu sangat di sekolah baharu kamu ini. Selalu bergaul dengan kawan-kawan, dan cuba aktif sedikit. Cikgu perhatikan kamu seperti tidak suka sahaja bersekolah di sini,” Cikgu Suparman selaku guru kelas memberi nasihat.

“Saya bukannya malu. Akan tetapi saya lihat bakat saya ini sudah tidak setanding dengan kawan-kawan di sini, jauh sangat bezanya. Mungkin sebab saya sudah lama tidak hadir ke sekolah di sekolah lama dahulu,” Ahmad menjelaskan.

“Perkara itu jangan dijadikan alasan. Kamu masih boleh menunjukkan bakat kamu di sini. Jangan pula kamu pendamkan bakat kamu itu. Seperkara lagi, jangan kamu selalu berangan-angan, asyik termenung sahaja saya perhatikan. Jika kamu ada masalah, boleh bercerita dengan saya,” nasihat Cikgu Suparman lagi.

“Saya akan cuba untuk mendapatkan diri saya semula seperti dahulu,” kata Ahmad.

Di dalam kelas darjah empat itu, murid-murid perempuan duduk di bahagian hadapan. Ahmad selalu juga menjeling-jeling kepada beberapa orang murid perempuan yang duduk sebaris di situ. Cikgu Suparman lebih banyak memberi tumpuan kepada murid-murid perempuan itu. Ada-ada sahaja perkara yang mahu dibualkan dengan mereka. Jika dalam pembelajaran, murid perempuan ini akan mendapat perhatian terlebih dahulu. Jarang-jarang Cikgu Suparman memberi perhatian kepada murid lelaki, apatah lagi murid baharu sepertinya.

Sewaktu membuat ujikaji dalam mata pelajaran Sains, murid lelaki menjadi sasaran Cikgu Suparman untuk mengambil peralatan sains di Pusat Sumber Sekolah. Murid perempuan pula diberi peluang terlebih dahulu melakukan sebarang ujikaji sains.

Jika murid perempuan tidak hadir ke sekolah, Cikgu Suparman akan bertanya sehingga akar umbi. Zaiti, murid tercantik di dalam kelas darjah empat itu contohnya. Baharu sehari tidak hadir ke sekolah, kemudian ada bintik-bintik merah pada mukanya, Cikgu Suparman terus sahaja menyelidiki puncanya dalam-dalam. Jika murid lelaki yang berkeadaan serupa, tidak ditanya pun.


iii) Cikgu Mahmud: 4B 1C

Cikgu Mahmud mengumumkan keputusan Penilaian Darjah Lima di hadapan kelas. Satu persatu murid dipanggil, dimulai dengan murid yang mendapat keputusan cemerlang. Paling tinggi keputusan diperoleh ialah 4A 1B. Empat orang lagi mendapat 3A 2B. Sampai giliran nama Ahmad dipanggil, dia cuma mendapat keputusan sederhana, 4B 1C!

Di tepi stor Pendidikan Jasmani, Ahmad duduk di bangku panjang bersama Khairuni semasa waktu rehat. Marzuki dan Azli datang menyertai mereka seketika kemudian.

“Sedihkah kamu mendapat keputusan sederhana?” tanya Marzuki.

“Saya biasa sahaja. Selama ini pun bukannya saya bersungguh-sungguh belajar,” jawab Ahmad.

“Akan tetapi saya lihat wajah kamu muram sahaja semenjak kamu mendapat slip peperiksaan daripada Cikgu Mahmud,” kata Marzuki.

Ahmad tidak membalas kata-kata Marzuki itu. Dia memandang ke hadapan, ke padang hijau yang luas. Sesekali angin menghembus membawa hawa sejuk ke tubuh.

“Kamu tidak perlu sedih sangat, saya mendapat keputusan lebih teruk, biasa sahaja,” kata Azli.

“Antara kita berempat ini, keputusan Ahmad yang paling baik. Kamu sepatutnya lebih bersyukur berbanding kami,” kata Khairuni.

“Sebenarnya saya teringat kawan-kawan saya di sekolah lama dahulu. Mungkin mereka mendapat keputusan cemerlang. Jika saya tidak berpindah sekolah dahulu, mungkin keputusan yang saya terima tidak seburuk ini,” kata Ahmad.

“Tidak perlu diungkit lagi. Hadapi sahaja apa yang ada di hadapan. Perjalanan kita masih jauh, tidak jadi masalah jika kita mendapat keputusan sederhana,” kata Khairuni.

“Betul. Kita pun bukannya ada cita-cita memasuki asrama penuh. Budak tidak pandai macam kita, buat apa mahu pasang cita-cita tinggi?” kata Azli.

“Saya cuma terkilan kenapa saya tidak membuat persediaan awal-awal dahulu. Mahu harapkan cikgu-cikgu kita membuat kelas tambahan, memberi motivasi pun tidak pernah. Agaknya cikgu kita dibayar gaji untuk mengajar waktu pagi sahaja,” luah Ahmad.

“Cikgu itu dibayar gaji untuk mengajar sahaja. Ya, saya setuju. Sebab itu kita datang ke sekolah, kemudian balik. Esok datang lagi, kemudian balik. Begitu hari-hari kita ulangi,” kata Marzuki.

“Sebenarnya kita tidak banyak membaca, itu sahaja hakikatnya. Jadi, jika keputusan kita lemah, salahkan diri sendiri bukannya salahkan cikgu,” kata Kharuni.

“Satu perkara lagi, keputusan yang kita dapat itu sederhana sahaja sebab kita terlalu memandang rendah kepada diri sendiri. Kita menganggap diri kita bodoh, dan orang lain pandai, orang lain hebat,” kata Ahmad.

iv) Cikgu Abdul Hamid: Latih Sendiri

Di kantin sekolah masih belum ramai pelajar yang hadir bagi sesi pemilihan pemain catur sekolah. Ahmad dan Anuar ialah antara pelajar yang terawal sampai. Guru yang mengendalikan sesi pemilihan pemain belum datang lagi. Ahmad membuka set catur yang dibawanya sendiri dari rumah.

“Kita buat latihan terakhir, tajamkan sedikit kemahiran,” kata Ahmad.

“Baik,” sahut Anuar, lalu turut sama-sama menyusun buah-buah catur.

Setelah tiga kali mereka bermain catur, baharu Cikgu Abdul Hamid sampai di kantin itu. Pelajar lain juga semakin ramai yang datang. Cikgu Hamid membuat pengumuman dan meminta pelajar mendaftarkan nama. Setelah urusan pendaftaran selesai, pertandingan diadakan secara liga.

Selepas melalui sepuluh pusingan permainan, baharu diumumkan senarai pemenang dan yang berjaya mewakili sekolah.

“Di sini saya umumkan nama-nama yang layak untuk mewakili sekolah dalam pertandingan catur di peringkat daerah nanti. Saya sebutkan nama mengikut kedudukan sewaktu pertandingan ini,” kata Cikgu Abdul Hamid.

Pengumuman Cikgu Abdul Hamid mendapat tepukan gemuruh daripada para pelajar. Seorang demi seorang pemain yang layak bertanding di peringkat daerah disebutkan namanya. Setiap kali nama seorang pelajar disebut, setiap kali itu sorakan dan tepukan diberi.

“Sekarang saya umumkan pemain yang layak bagi kategori lelaki bawah 15 tahun. Yang pertama, Ahmad bin Marhan! Dia seorang sahaja yang memenangi kesemua pusingan dalam perlawanan tadi dan merupakan satu rekod. Beri tepukan gemuruh!” pengumuman itu disertai dengan tepukan gemuruh pelajar-pelajar.

Ahmad tersenyum lebar apabila namanya disebut.

“Nama seterusnya, Anuar bin Alias, Rosman bin Mohd Sam dan Ramlan bin Abdul Hamid!” pengumuman itu turut mendapat tepukan gemuruh.

Keempat-empat individu yang disebutkan itu saling bersalaman dan mengucapkan tahniah.

“Saya berasa sangat gembira dan berpuas hati hari ini. Saya harap dapat mengharumkan nama sekolah,” luah Ahmad.

“Saya pun begitu juga. Nanti kita buat latihan hari-hari,” jawab Anuar.

“Pengumuman, para pemenang diminta membuat latihan sendiri di mana-mana dan pada bila-bila masa. Dua minggu lagi kamu akan mewakili sekolah, dan kamu akan bermain di sekolah kita juga. Sekarang kamu boleh bersurai,” Cikgu Abdul Hamid membuat pengumuman terakhir.

“Cikgu tidak mengadakan sesi latihan?” terpacul soalan daripada mulut Ahmad.

“Mari kita tanyakan kepada cikgu,” ajak Anuar.

Mereka mendapatkan Cikgu Abdul Hamid yang sedang mengemaskan kotak-kotak catur untuk disimpan ke dalam kotak besar.

“Mengapakah cikgu tidak menjalankan sesi latihan sebagaimana permainan lain?” tanya Ahmad.

Dibalas oleh Cikgu Abdul Hamid, “Kamu buat latihan sendiri di rumah atau di sekolah sahaja. Akan tetapi saya tidak dapat melatih kamu, sebab saya pun sibuk dengan tugas-tugas lain. Lagi pun saya bukannya pandai sangat bermain catur, tahu peraturan dan cara jalan sahaja.”

“Kami lagi tidak pandai bermain catur. Cikgu tolong ajari kami,” pinta Ahmad.

“Kamu sudah dapat menewaskan kesemua lawan kamu tadi, masih mengaku tidak pandai?” jelasnya. “Kami belum cukup ilmu lagi untuk bermain dalam peringkat lebih tinggi,” kata Ahmad.

“Betul kata Ahmad itu. Kami pun mahukan ilmu tambahan daripada cikgu,” tambah Anuar.

“Nanti kamu cari sendiri tips bermain catur dalam surat khabar. Kemudian gunting bahagian itu, dan keratannya kamu buatkan buku. Selepas itu, kamu belajar daripada setiap masalah yang diberi di situ,” jawab cikgu mereka.

Mereka sekadar menganggukkan kepala, kemudian berlalu dari situ tanpa sebarang kata.

Hari pertandingan peringkat daerah sudah tiba. Ahmad dan rakan-rakan sepasukannya duduk sebaris menghadap lawan masing-masing. “Untuk pengetahuan para peserta pertandingan catur, jam catur tidak disediakan. Para peserta dikehendaki menggunakan jam randik. Para peserta diberi hanya dua minit untuk berfikir sebelum menggerakkan buah catur. Sesiapa peserta yang melebihi masa dua minit, peserta lawan boleh angkat tangan buat aduan kepada arbiter,” umum ketua arbiter pertandingan.

Selepas bersalaman dengan pihak lawan, pertandingan dimulakan. Acara yang dipertandingkan adalah melibatkan kategori bawah 18 tahun dan bawah 15 tahun lelaki dan perempuan. Tujuan pertandingan adalah untuk mencari satu pasukan bagi setiap kategori mewakili daerah ke peringkat negeri. Format pertandingan pula adalah secara berpasukan. Pemenang dikira melalui markah berpasukan sahaja. Jadi, markah untuk individu tidak diambil kira.

“Menang?” tanya Anuar yang duduk dengan Rosman dan Ramlan selepas tamat permainan.

“Ya, menang lagi!” jawab Ahmad yang baharu menghabiskan perlawanan catur.

“Ya, kita juara!” balas Rosman dan Ramlan serentak.

“Kita juara? Bagaimanakah kamu tahu?” tanya Ahmad.

“Tadi, Cikgu Abdul Hamid beritahu jika kamu menang perlawanan terakhir itu, maka pasukan kita menjadi johan kerana mengutip mata terbanyak,” jawab Rosman.

Cikgu Abdul Hamid menghampiri mereka yang sedang berbual-bual sambil tersenyum-senyum dan diselangi ketawa.

“Tahniah! Kamu semua membanggakan saya, Ahmad terutamanya yang tidak pernah tewas walaupun satu pusingan,” ucap Cikgu Abdul Hamid sambil bersalaman dengan Ahmad dan kawan-kawannya.

“Selepas ini kita bertanding di mana bagi peringkat negeri?” tanya Ahmad.

“Tahun ini pusingan awal dan suku akhir dibuat di daerah Kuala Selangor. Pusingan separuh akhir dan akhir baharu diadakan di Sekolah La Salle Petaling Jaya,” jelas Cikgu Abdul Hamid.

“Boleh menang?” Ahmad bertanya rakan-rakannya.

Dijawab oleh Cikgu Abdul Hamid, “Jika kamu gandakan usaha, tidak mustahil kamu boleh menang.”

Mereka berempat tersenyum dan berpandangan sesama sendiri.

“Selepas ini boleh cikgu latih kami?” tanya Anuar.

“Kamu berlatih sendiri sahaja. Saya pun bukannya pandai sangat bermain catur, tunjuk sikit-sikit boleh,” jawab Cikgu Abdul Hamid.

“Saya harap cikgu dapat berikan kami latihan dan teknik bermain dengan lebih baik,” pinta Ahmad pula.

“Kamu gunting lagi keratan akhbar tentang penyelesaian masalah permainan catur itu. Kemudian kamu ikut sahaja petunjuk jalan yang diberi,” jawab Cikgu Abdul Hamid.

“Cikgu asyik memberikan alasan apabila diminta melatih kita,” bisik Ramlan.

“Cikgu memang tidak pandai bermain catur agaknya,” jawab Rosman.

“Asyik-asyik dia suruh kita gunting surat khabar, gunting surat khabar!” bebel Ahmad sebelum berlalu ke arah basikal bersama Anuar untuk pulang ke rumah.


v) Cikgu Mahmud: Ditampar Pengetua

Mata pengetua melilau memerhatikan kesemua kelas tingkatan tiga di blok dua tingkat itu. Dari kawasan tempat meletakkan basikal pelajar itu, dia berdiri melihat satu demi satu kelas tingkatan tiga sambil bercekak pinggang. Sesekali tangan kirinya membetulkan kopiah putih yang terletak senget di kepalanya.

“Kamu sudah membaca doa ataupun belum?” keras jeritan pengetua ke arah kelas tingkatan Tiga Jingga.

Pelajar tingkatan Tiga Jingga yang berada di tingkat dua itu tidak memandang kepadanya. Hal itu menyebabkan dia mengulangi semula kata-katanya tadi.

“Sudah baca doa atau belum?” pengetua tua dan berjanggut sejemput itu menjerit lagi.

Salah seorang pelajar kelas itu menoleh ke bawah menerusi tingkap kaca kelas Tiga Jingga. Kemudian, dia mencuit rakan yang berdiri di sebelahnya.

“Tuan Pengetua di bawah itu. Dia suruh kamu membaca doa memulai pelajaran,” Noraini memberitahu Ahmad selaku penolong ketua kelas.

“Wahai penolong ketua kelas, sila baca doa sekarang sebelum Pak Haji datang!” arah Cikgu Madiah yang baharu memasuki kelas itu.

“Saya tidak tahu membaca doa!” jawab Ahmad.

“Kamu mahu Wong Peng membaca doa? Memang dia ketua kelas kita, tetapi adakah patut dia membaca doa?” tanya Noraini pula.

“Dahulu semasa perjumpaan ketua kelas, saya tidak dipanggil pun untuk menerima arahan membaca doa daripada pengetua. Sekarang saya pula yang disuruh membaca doa. Doa pun saya tidak hafal,” luah Ahmad.

Tiba-tiba, pengetua berkopiah putih itu masuk ke dalam kelas Tiga Jingga. Mukanya merah padam, matanya dibulatkan sambil tangannya masih bercekak pinggang.

“Cepatnya orang tua itu naik ke tingkat dua!” bisik Lokman kepada Kee Bak Nim yang duduk di tepi tingkap berdekatan pintu belakang.

“Siapakah ketua kelas di sini?” Kenapakah tidak membaca doa?” tengking pengetua tua itu. Dia mengacung-acungkan tongkatnya.

“Kee Wong Peng ketua kelas ini,” jelas Cikgu Madiah yang masih berdiri dan berpeluk tubuh di hadapan kelas.

“Bukankah minggu lepas saya sudah keluarkan arahan setiap kali guru masuk ke dalam kelas mesti baca doa terlebih dahulu? Penolong ketua kelas mana?” suara cikgu tua itu masih meninggi.

Ahmad yang duduk di barisan tengah kelas dan paling hadapan mengangkat tangan. Pelajar yang lain senyap, terdiam. Pelajar-pelajar kelas lain apabila guru yang mengajar masuk ke kelas, selepas memberi salam, ketua kelas akan mengetuai bacaan doa memulai pelajaran. Disebabkan kelas Tiga Jingga ketuanya ialah Kee Wong Peng, seorang bukan Islam, jadi kelas itu tidak membaca doa memulai pelajaran.

“Mari ke sini!”

Ahmad menghampiri pengetua sekolahnya.

“Mengapakah kamu tidak membaca doa? Mengapakah kamu engkar arahan?” soal pengetua sambil bercekak pinggang.

Tidak semena-mena satu tamparan hinggap di pipi kiri Ahmad. Tanpa sempat dia berkata apa-apa, satu lagi tamparan hinggap di pipi yang sama. Dia cuba mengusap-usap pipinya itu, namun satu lagi tamparan hinggap di tempat yang sama. Tamparan ketiga itu menyebabkannya berpusing satu putaran lengkap. Lengkap sudah tiga kali tamparan singgah di pipinya, menyamai jumlah bilangan yang perlu dibaca dalam sujud mahu pun rukuk ketika solat. Garis-garis merah berbirat di pipinya. Semua pelajar di dalam kelas itu terdiam. Pengetua itu terus meninggalkan kelas Tiga Jingga tanpa sepatah kata, namun dengan dengusan nafas seperti seekor lembu jantan mendengus.

“Kasihan Ahmad. Kamu semua yang tidak membaca doa, dia seorang yang menanggung bala,” Cikgu Madiah yang merupakan guru kelas dan guru Bahasa Melayu kelas itu memecah keheningan.

Bagai tersentuh dengan kata-kata guru kelasnya itu, air matanya bergenang di kelopak mata, lalu mengalir perlahan ke pipi.

“Bertenang wahai sahabatku. Perkara kecil sahaja. Buat malu kaum lelaki sahaja menangis di hadapan perempuan,” sampuk Lokman, pelajar yang paling kuat mengusik dan bergurau di dalam kelas itu.

Kata-kata Lokman itu menambahkan lagi jumlah air mata yang mengalir ke pipinya. Cikgu Madiah mengalihkan perhatian kelas kepada silibus mata pelajaran yang dia perlu sampaikan pada hari itu.

Selamat Hari Guru kepada semua guru!


No comments: