12 March 2012

CERITA DOKTOR

i. Bangga di hati ini apabila ada anak murid yang pernah diajar telah menjadi doktor kini. Dulu, sewaktu berada di Tahun 4, dan usianya baru 10 tahun, dia hanya seorang budak yang tergagap-gagap apabila menyusun kata. Malah, pencapaian pelajarannya hanya sederhana. Dia belajar hingga ke Rusia untuk mencapai cita-citanya.

ii. Bangga juga di hati ini apabila mendapat tahu anak seorang sahabatku berjaya belajar hingga ke Ireland dalam bidang perubatan. Ayahnya hanya seorang pembantu am rendah, manakala ibunya hanya seorang suri rumah sepenuh masa. Biayanya adalah biasiswa penuh, sekitar RM700, 000. Subhanallah! Mahu jadi doktor zaman ini, begitu besar belanjanya. Bukan calang-calang orang boleh capai ke tahap itu.

iii. Dinihari ini, baru balik dari hospital, unit kecemasan. Tiga jam setengah menunggu, tanpa nombor giliran, barulah nama dipanggil. Hospital ini ada yang menggelarnya hospital maut. Mana tidaknya, berjam-jam menunggu baru dapat giliran jumpa doktor. Kalau di hospital Kuala Pilah atau Seremban, mungkin tidak selama ini tempoh menunggunya. Beberapa orang pesakit yang bosan menunggu dan mungkin kehilangan sabar, balik tangan kosong. Kasihan, susah-payah datang tetapi balik begitu sahaja tanpa sempat berjumpa doktor.

iv. Aku lantas terfikir pasal sejumlah wang yang besar bagi biaya pengajian seseorang untuk bergelar doktor. Atas sebab itu mungkin bilangan doktor di Malaysia masih di tahap kritikal kekurangannya. Sebab itulah ada pesakit yang menunggu hingga berjam-jam lamanya. Mungkinlah. Yang hairannya di hospital atau klinik swasta berkali ganda cekap dan pantasnya mereka menguruskan pesakit.