25 December 2011

SENTAK DINGIN DISEMBER

HAIKU PELEPAH MUDA

pelepah muda

sentak dingin Disember

gugur ke bumi

Salam semua.

Disember yang dingin. Hujan masih berterusan. Kadang-kadang lebat, kadang-kadang renyai. Tetapi berterusan. Kadang-kadang dinginnya sampai ke tulang. Aku dikejutkan dengan berita kematian sahabatku Isnin lalu, setelah mengalami jangkitan kuman pada paru-paru dan merebak ke tempat lain. Bermula dengan demam, muntah dan pengsan. Kemudian dikejarkan ke hospital. Tiga hari sahaja, kemudian kembali dia ke rahmatullah. Selang sebuah rumah sahaja rumah sahabatku itu dengan rumahku. Dalam usia yang masih muda, baharu awal empat puluhan, sudah dijemput pulang. Aku amat terkejut dengan berita kepulangannya ini. Sempat menziarah jenazahnya di Bandar Sri Sendayan.

Sepulangnya dari ziarah, petang itu aku mendapat kiriman berita seorang sahabat terlibat dalam kemalangan jalan raya. Dia baharu pulang dari menduduki peperiksaan pengajian jarak jauhnya, memandu Kelisa. Bertembung dengan Hilux yang mahu memotong kenderaan dari arah hadapan. Dirempuh pula dengan kereta dari arah belakang. Dia dikejarkan ke Hospital Kuala Pilah. Kemudian dipindahkan ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban. Pastinya parah, sehingga berpindah hospital. Koma. Ketika menziarahinya di hospital, terasa berat amat derita yang ditanggungnya. Simpati menjalar. Baharu petang tadi, setelah enam hari bertarung nyawa, kembali dia ke rahmatullah. Sahabatku dijemput pulang. Usianya baharu lewat tiga puluhan.

Kedua-dua pemergian dalam jarak enam hari sahaja. Kedua-duanya sahabatku. Kedua-duanya guru dan satu kariah denganku. Kedua-duanya masih muda pada perkiraanku. Sayu amat hatiku mengenangkan. Lalu, kulihat ke dalam diri, dan bertanya-tanya sendiri; apakah aku sudah bersedia? Lalu, terkenang kembali pada pelepah kelapa. Tidak semestinya pelepah yang tua gugur dahulu. Sampai saat yang tertulis, pelepah muda akan gugur jua.

No comments: