24 May 2011

SABARLAH CIKGU!

Dua patah perkataan yang menjadi tajuk entri ini adalah disalin semula berdasarkan satu tajuk berita utama akhbar arus perdana baru-baru ini. Ia menjadi tajuk utama dan terpapar pada muka hadapan; pastinya penting amat. Maka, pembesar negara itu pun meminta para cikgu bersabar, kerana sekiranya mahu diturutkan semua permintaan cikgu, tidak terbayar nanti. Makanya, cikgu-cikgu tertentu dan sudah punyai pangkat sahajalah yang diberikan ganjaran terlebih dahulu. Dulu, pada sambutan Hari Guru tahun sebelum ini, para guru besar yang menikmati ganjaran. Cikgu-cikgu kecil sepertiku, Sabarlah Cikgu! Mungkin tahun hadapan akan tertera lagi tajuk yang sama, dengan nasihat yang lebih kurang sama: Sabarlah Cikgu yang Budiman!

Pada asalnya tidak terfikir pun mahu ulas atau mahu ambil berat pasal kandungan ayat seterusnya yang menyusuli tajuk berita tersebut. Sebabnya pun sudah jelas. Tetapi, entah mengapa, tiba-tiba terkesan pula dua perkataan itu di hati ini. Sewaktu beberapa hari menjelang Hari Guru pada tahun ini, wah, ada khabar gembira bakal diterima oleh guru-guru! Wah, tidak sabar menantikan saat pengumuman itu! Terdetik juga walau sedikit di hati ini akan betapa kenaikan gaji atau paling kurang pun elaun tertentu akan diberi kepada semua guru. Realitinya, apabila tiba hari pengumuman, perkara yang sudah boleh aku agak muncul juga. Guru-guru yang sudah pasti berjawatan dan berpangkat juga yang menerima habuan. Itu pun bukan kepada semua yang berpangkat, dan bukan kepada yang berkhidmat di semua sekolah. Akhirnya, kata-kata ‘Sabarlah Cikgu’ itu juga yang menjadi perisai.

Sekiranya diikutkan dua perkataan itu, memang sudah lama pun cikgu-cikgu kecil sepertiku bersabar. Mengharap pun hanya di dalam hati. Rasanya sudah penat pun bersabar. Makanya, tidak perlu rasanya cikgu-cikgu kecil sepertiku berkeluh kesah lagi. Lebih-lebih lagi kepada guru-guru ‘tersepit’dan ‘teraniaya’ penyandang gred DG41 dan bakal DG44 seangkatan denganku. Harap gred sahaja tinggi, tetapi gaji jauh lebih rendah berbanding yang menyandang gred DG32, dan tidak punyai ijazah pun pastinya! Padahal dulu posting sama-sama, mengajar mendidik sama-sama. Penat lelah sama-sama. Peluh yang tertumpah pun lebih kurang sama.

Apabila difikir hitungkan semula, kenyataan yang tertera adalah semua ini telah tertulis. Titik! Inilah yang dinamakan rezeki di tangan Tuhan. Setiap orang ada tulisan rezekinya masing-masing. Sama ada banyak atau sedikit, itu terpulang kepadaNya yang menentukan. Kita hanya mencari dan terus mencari, pokok pangkalnya adalah dari sumber yang halal. Begitu juga dengan ujianNya. Setiap orang sudah pasti mendapat ujian yang berbeza-beza. Ada yang berat, ada yang ringan. Semuanya mengikut kemampuan orang yang diuji itu. Ujian yang menimpa anak-anak yatim di Hulu Langat itu misalnya. Dalam bab Sabarlah Cikgu ini, ia juga merupakan satu cabang daripada cabang-cabang ujian itu. Sabarlah Cikgu!

Perkara yang terlebih penting bagiku dalam hal ini adalah, sebagai guru, teruskanlah perjuangan mendidik membimbing, mengajar dan mengasuh anak bangsa tanpa jemu. Tanpa mengharapkan kelebihan apa-apa. Termasuk kelebihan gaji! Jangan nanti para guru dilabel mata duitan dan macam-macam lagi. Ketulusan dan keiikhlasan hati lebih penting dalam hal ini. Dugaan mendidik anak bangsa zaman serba canggih ini lebih kompleks dan amat memeningkan bagi sesetengah guru. Itulah perjuangan kita!

Sabarlah Cikgu!

Selamat Hari Guru selama menjadi guru.

2 comments:

Unknown said...

Teruskan bersabar. Cantik blog cikgu :)

Anonymous said...

Terima kasih. Sabar terus jadi perisai.