18 November 2009

DI BENGKEL PENULISAN ITU

Berpeluang menyertai bengkel penulisan merupakan anugerah indah dan pengalaman mengujakan. Lebih-lebih lagi apabila dibimbing terus penulis tersohor dan ada nama pastinya. Aku yang baru mahu berjinak-jinak ini punya tiga kasad apabila menyertai bengkel itu. Yang pertama sudah pastinya mahu menambah ilmu dan pengalaman. Yang keduanya mahu menyedut aura serta semangat penulis lebih dahulu makan garam dan lebih prolifik dalam berkarya. Yang ketiga, yang amat penting bagiku adalah mahu menimbulkan keyakinan dan semangat dalam diri bahawa diri sendiri juga mampu menghasilkan karya yang mampu dikongsi khalayak; yang sudah pasti kesemua ini dikasadkan keranaNya jua.

Dalam bengkel seperti itu, pengalaman orang lama amat diperlukan. Orang lama tidak semestinya lebih tua dari segi usia, yang kebetulan pembimbing-pembimbing di situ sememangnya lebih muda daripada diriku. Bagiku, mereka lebih bertuah kerana menemui jalan ini terlebih dahulu. Ada juga peserta yang telah memasuki usia pencen, dan karyanya juga sering tersiar. Amat kagum aku dengan semangatnya menyertai bengkel itu. Katanya, bengkel seperti itu bukan untuk penulis yang baharu belajar sahaja. Penulis lama juga seharusnya turun padang, berjemaah. Di sinilah tempat kita berkongsi pengalaman. Sekiranya kita punya lebih pengalaman dan ilmu, di sini tempatnya untuk kita perturunkan kepada generasi pelapis, bukannya untuk diri sendiri sahaja.

Aku amat bertuah kerana mendapat bimbingan daripada penulis berlatar pendidikan agama. Jadi, saranan mereka, karya juga harus berteras pada agama, iaitu karya yang mengangkat akidah serta kesyumulan Islam sebagai tema. Sebagaimana kata pembimbing bengkel, kita menulis perlu betulkan kasad; sama ada mahu nama gah, atau mahu duit ringgit, atau mahu mendapat keredaanNya. Atau juga bagiku diambil kesemuanya, asal sahaja tidak sampai menimbulkan riak di hati. Cuma, bab inginkan nama gah itu rasanya tidak perlu. Apa ada pada nama; cukuplah hanya memperkenalkan nama, dan nama itu diingati kerana karyanya. Yang penting karya dapat membangun dan mendidik jiwa, bukan menyegarkan khayal dan keseronokan semata-mata.

Setiap peserta bengkel diberi peluang mengungkapkan kata-kata akhir sebelum bengkel melabuhkan tirai. Tanpa susunan ayat yang betul, jauh sekali indah berbunga, aku sempat menitipkan pesan: Berbakat sebesar mana pun kita, berminat setinggi mana pun kita, sekiranya tidak disertai dengan disiplin yang tinggi dalam berkarya, kita tidak akan ke mana-mana. Sebenarnya, aku titipkan ayat ini untuk diriku sendiri; yang mana antara tujuan terpenting aku datang berbengkel adalah bagi menimbulkan keyakinan pada diri sendiri bahawa diri ini juga mampu menghasilkan karya seperti mereka yang lain.

Semoga ilmu yang ditimba dan pengalaman sehari berbengkel ini menjadi aset kepada istiqamahnya diri dalam berkarya. Jangan pula nantinya hanya menjadi tangisan alpa di daerah terpinggir.

Alhamdulillah…

11 comments:

Layla Haq said...

Saya tunggu Pohon Cinta Warisan di media ya!

Semoga bertemu lagi.

amiza khusyri said...

Tahniah untuk catatan ini saudara.

Selamat berjuang dan sungguh terasa manisnya ukhuwah.

Jemput datang lagi.

MYA MARJA said...

Saya juga tunggu Mak Ngah muncul di mana-mana, Sdr Bayan. :D


Tahniah juga untuk Encik Amiza yang bertungkus-lumus. InsyaAllah, akan menggagahi diri datang ke pertemuan seperti itu lagi.

kak ila said...

ya, bakat & minat perlu disusuli disiplin diri. usah mendabik dada betapa berbakatnya kita dalam dunia penulisan kerana bakat itu adalah anugerah. selepas giat berusaha barulah bakat kita berjaya ditonjolkan.

teruskan usaha dik. semoga berjaya.

Anonymous said...

Salam ukhuwah..
Teruskan usaha Mya Marja..dalam mencari reda dan kasih-NYA...

MYA MARJA said...

Disiplin itu yang kadang-kadang sukar amat menjadi milik diri. Terus berjaya juga buat Kak Ila.


Salam ukhuwah buat Sdr. InsyaAllah dan terima kasih. Teruskan usaha juga buat Sdr.

Anonymous said...

Salam tuan,

Berbengkel di mana? Saya lama tak berbengkel kalau ada biasanya ada clash dengan aturcara lain.

"Walau berbakat, tetapi menulis malas pun tidak berguna juga. Biasa-biasa pun kalau selalu diasah dan diasak akan indah dan berkualiti juga akhirnya."


Kamal
Selamat berkarya.

ez said...

Assalamualaikum Cikgu,
Saya juga rindukan suasana bengkel seperti itu. Mudah-mudahan terus diberi peluang di masa akan datang.
Selamat berkarya, Cikgu.

azmon@anaiz said...

Assalamualaikum Mohd Yatim bin Marjiko. Di mataku masih terbayang seorang budak lelaki mengayuh basikal yang ber'hendle' tinggi berseorangan pulang dari sekolah. Biasanya begitulah saban hari. Jarang benar dia berteman mungkin juga dia selesa begitu .Tidak seperti org lain. Dia seperti diselubungi misteri. Pastinya dia memang suka sendirian. Aku sekadar memerhati. Dia melewati Jalan Seri Jaya . Sampai di kedai cina, dia membeluk ke kiri masuk ke Jalan Abdullah menuju ke rumahnya di hujung sana.....

Tahniah sahabatku Yatim. Kini kau seorang penulis..

kak ila said...

lamanya tak update...
cikgu sibuk dgn anak murid / berkarya / hal lain?

Rasha_rz said...

sepi sudah...
rindunya bingkisan cikgu...