I
Peperiksaan UPSR masuk hari ketiga hari ini. Peperiksaan kali ini sedikit istimewa. Selain ia berjalan dalam bulan puasa, ia juga berjalan dalam wabak H1N1 sedang melanda negara, walaupun jumlah kematian akibat wabak ini berkurangan. Sekolah telah dibekalkan dengan topeng muka dan alat pengesan suhu badan. Setiap murid yang bakal memasuki dewan peperiksaan akan diperiksa suhu badan terlebih dahulu. Sekiranya melebihi had yang sepatutnya, mereka akan dikuarantin di dalam bilik kuarantin di sekolah. Alhamdulillah, tiada murid yang dikuarantin setakat ini.
II
Semalam, murid-murid sekolah kebangsaan menjawab satu kertas peperiksaan sahaja. Sepatutnya mereka boleh dilepaskan pulang ke rumah selepas tamat menjawab soalan. Namun, kesungguhan guru-guru sekolah ini menyebabkan mereka ditahan daripada pulang. Sebaliknya mereka diberi bimbingan terakhir bagi kertas berikutnya yang berlangsung hari ini. Peperiksaan yang berjalan pada bulan puasa ini dilalui dengan tenang. Mudah-mudahan mereka semua lulus bagi semua mata pelajaran, sebagai penanda kepada tercapainya objektif belajar dalam KBSR. Lebih diharapkan lagi adalah bilangan yang mendapat 5A meningkat berbanding tahun lalu.
III
Aku benar-benar simpati sewaktu menatap gambar dan membaca berita tentang seorang kanak-kanak lelaki yang buta matanya angkara mercun. Mercun bola yang dibaling dari tingkat atas rumah pangsa itu menyebabkan kanak-kanak malang tersebut buta seumur hidupnya. Mudah-mudahan kanak-kanak malang tersebut dan keluarganya tabah menghadapi ujian ini. Semoga juga balasan setimpal turut diterima oleh si pembaling mercun. Orang lain yang bermain, orang lain yang menanggung bahananya. Ia seumpama juga dengan pengguna jalan raya yang sentiasa mengikut peraturan dan undang-undang jalan raya. Tidak semena-mena dilanggar oleh kenderaan lain yang dipandu secara cuai. Atau juga, tiba-tiba dihempap konkrit daripada landasan bertingkat yang dibina tanpa pengawasan rapi. Atau juga, tiba-tiba dihempap roda komuter dari langit.
Ironinya, aku tidak pernah berasa simpati kepada mereka yang cedera atau putus jari, atau kudung tangannya gara-gara bermain mercun, khususnya mercun buatan sendiri. Semoga kemalangan yang menimpa jenis orang sebegini menjadi peringatan sepanjang usianya.
IV
Selepas solat terawih, imam berpesan kepada makmum tentang dua puluh hari terakhir Ramadan ini. Dua puluh hari terakhir ini ujiannya amat berat. Buktinya, bilangan saf dan makmum makin berkurang. Hendaknya dapat bangun malam dan bersujud sembah kepada-Nya dan menikmati malam lailatul qadar. Sesiapa yang beribadat pada malam tersebut, akan diganjari Allah dengan pahala beribadat selama seribu bulan. Subhanallah! Moga diri ini mampu menggapainya.
Alhamdulillah…!
7 comments:
Terima kasih di atas kunjungan cikgu. selamat memburu Lailatul Qadar.
ezee rahmani
kunjungan balas. salam lailatulqadar.
Tahun yang segalanya nampak suram....
Selamat hari raya, maaf zahir dan batin.
Salam. Kegembiraan menemui Syawal tak seimbang kesedihan meninggalkan Ramadahan. Semoga ibadah Ramadhan diberkati Allah jua.
hemmm
banyak benar dugaan allah tahun ni buat kak ila sekeluarga. suka dan duka diberinya seimbang. syukur kami berjaya melepasinya. alhamdulillah...
rindu pulak pada ramadhan tahun depan.
Kak Ezee,
Salam lebaran. Moga lailatul qadar tahun hadapan bakal ditemui.
Kak Ila,
Dugaan itu ujian. Pasti berbeza-beza bagi setiap insan. Semoga dimudahkan-Nya jua.
Dik Nin,
Teringat lagu 'Suci Dalam Debu': Suatu hari nanti pasti kan bercahaya.. Yang suram boleh diterangkan. Betul tak? :)
Tuan Keng,
Moga semua itu memberi peringatan kepada kita. Alhamdulillah.
Post a Comment