I
Hari Raya Aidilfitri tahun ini kurasakan lebih meriah berbanding tahun-tahun sudah. Meriah disebabkan bunyi letupan bunga api dan mercun! Memang terasa benar meriahnya. Tidak perlu kubeli bunga api atau mercun. Keluar sahaja dari rumah, dan duduk di atas tar jalan. Selepas solat maghrib hingga hampir ke tengah malam, ada sahaja percikan warna-warni mekar bertebar di ruang angkasa, diiringi oleh bunyi dentum dan letupan yang pelbagai nada. Tidak perlu keluarkan satu sen pun duit bagi membeli barang ‘keperluan’ tersebut. Tidak dapat aku anggarkan berapa RM yang telah hangus pada malam Hari Raya pertama itu. RM itu dihanguskan semata-mata bagi membeli keseronokan; keseronnokan mata dan telinga. RM tersebut sengaja dihanguskan begitu sahaja, disebabkan mencari RM itu kerjanya teramat mudah!
II
Pagi Hari Raya pertama, berbual-bual dengan sanak-saudara. Berkisah juga dengan meriahnya bunga api dan mercun.
Kata birasku, “Mana tidak meriahnya, ada agen yang jual benda-benda itu. Agen itu pula terdiri daripada orang dalam.”
“Orang dalam? Siapa?” balasku.
“Orang imigresen.”
“Oh!”
Aku mulai tergambar tentang rampasan-rampasan rokok dan mercun sedikit masa dahulu. Tidak terfikir pula aku bahawa kemeriahan suasana malam tadi ada kaitan dengan orang dalam.
“Bagaimanakah boleh terlepas?” tanyaku bagai orang bodoh.
“Semua yang tertayang di televisyen itu hanya wayang; di permukaan sahaja. Selebihnya, mereka kebas. Kemudian, jual kepada kenalan dan rakan-rakan kenalan dengan harga yang boleh mengembungkan poket sendiri.”
Aku tidak mahu bertanya lagi. Entah betul entah tidak cerita birasku itu. Akan tetapi yang pastinya dia juga dapat bekalan daripada rakan sekerjanya. Rakan sekerjanya pula dapat bekalan daripada orang dalam; orang imigresen!
III
Di tempat kerjaku seminggu dua menghampiri Syawal, pun meriah juga. Meriah dengan jualan. Ada yang jual kerongsang. Ada yang jual tudung. Ada yang buka tempahan kuih raya. Ada yang buka tempahan jual dodol. Ada yang jual kerepek dan kuih-muih, siap dipamerkan berhampiran kantin. Yang pastinya mereka semua merupakan orang tengah. Biasalah, persiapan menghadapi hari kebesaran. Kesempatan inilah yang perlu direbut. Sekurang-kurangnya lepas juga duit minyak balik kampung dan duit raya untuk anak-anak saudara.
Yang terakhir, dan tidak ketinggalan adalah pesanan mercun dan bunga api! Aduh, rakan guruku jadi orang tengah penjualan bunga api dan mercun! Pasaran gelap sebeginilah yang berlaku dan memeriahkan pasaran barang terlarang ini. Sumber bekalan itu entah dari mana, aku pun tidak mahu ambil tahu.
“Pesan sahaja. Kalau ada stok, dapatlah. Kalau tidak, mana yang ada sahaja,” kata rakan sekerjaku itu tanpa sebarang rasa serba salah.
Aku bukan tidak berduit bagi membeli barang terlarang itu, tetapi ada dua sebab yang terpahat di hati dan fikiran. Pertama, ia hanya barang membazir, walaupun bertujuan bagi membeli keseronokan. Kedua, alangkah kejamnya diri membiarkan duit sendiri hangus terbakar hanya kerana ingin membeli keseronokan sementara itu. Bagaimanakah nasib si fakir miskin dalam menghadapi Hari Raya ini? Bagi menyediakan juadah yang sedap-sedap pun belum tentu mereka mampu. Kita ini yang diberikan sedikit kelebihan rezeki, tiba-tiba mahu membakar begitu sahaja rezeki kurniaan Ilahi. Subhanallah!
IV
Sewaktu beraya di kampung, aku bertanya kepada sepupuku tentang punca dia bertukar kerja. Sebelum ini, sepupuku itu mencari rezeki di laut, menjadi nelayan kecil. Akan tetapi, ujian yang melandanya berulang datang. Enjin bot berkuasa kudanya telah beberapa kali dicuri orang! Lalu, siapa yang dapat bertahan berhadapan situasi sebegitu?
Sepupuku yang mencari rezeki sebagai tukang rumah itu menitipkan kata yang amat mantap untuk kuingati: “Selagi kita bernafas, selagi itu akan berhadapan dengan masalah. Manusia mana yang tidak berhadapan dengan masalah?”
Aku mengangguk-angguk sambil mengunyah kuih raya, dalam hati yang terkedu seketika. Sememangnya begitulah keadaannya. Setiap manusia pasti berhadapan dengan masalah, atau dengan bahasa yang lebih memandu: berhadapan dengan ujian Allah! Setiap ujian itu pula adalah berbeza-beza bagi setiap manusia. Oleh itu, mengapakah harus termenung panjang dan mengeluh mengenangi masalah diri? Sedangkan, orang lain juga punyai masalah. Hidup perlu diteruskan!
V
Malam raya ketiga itu, jiran kakakku di kampung telah kecurian. Rumah jiran kakakku itu memang cantik. Anak-anaknya juga sudah jadi orang berada, berjawatan dan punya kereta mahal, antaranya Estima. Dalam ramai-ramai penghuni rumah itu, tiada seorang pun yang tersedar sewaktu pencuri menjalankan kerjanya. Kakak beritahuku antara yang dicuri ialah RM20 ribu! Meriahlah raya si pencuri itu. Aku hanya mampu bersimpati.
Subhanallah…!
6 comments:
salam syawal...
jangan ingat banyak menulis tu luas pengalaman dik. & semakin banyak menulis semakin buntu...
Salam lebaran, maaf zahir batin...
Alhamdulillah Raya yang meriah!
Salam Aidilfitri Mya Marja, maaf zahir batin :)
Salam tuan,
Apsal tak singgah rumah di TK? Heheheh...
lamanya menyepi. sibuk menulis karya baru ke?
Salam penulisan Kak Ila,
Makin prolifik nampaknya. Menyepi cari ilham kot... :D
Salam lebaran jua Maharam, selamat terus menulis.
Salam Aidilfitri yang ditinggalkan, BR.
Salam Tuan Kamal. Nak cepat sampai kampung. Pasti meriah beraya di tengah sawah ya.
Post a Comment