02 July 2009

SEMALAM YANG DITINGGALKAN

I
Beberapa hari yang lalu, sekolahku mengadakan hari terbuka sempena peperiksaan pertengahan tahun. Hari terbuka sekolahku yang ini baharu sahaja dilaksanakan, berbanding sekolah tempatku bertugas sebelumnya. Tujuan utamanya bagi bersua muka antara ibu bapa, guru dan murid, di samping menandatangani buku rekod prestasi murid. Dalam pertemuan itu, apa sahaja persoalan berkaitan kemajuan murid di sekolah boleh diajukan kepada guru kelas terutamanya. Guru kelas pula boleh bertanya tentang tabiat murid di rumah. Bagi ibu bapa yang memanfaatkan pertemuan ini secara positif, tidak melepaskan peluang bertanya tentang perkembangan anak masing-masing. Namun, adatnya manusia tidak semua sama. Rambut sama hitam tetapi hati lain-lain.

Dalam satu kes, seorang ayah tanpa segan silu meluahkan rasa terhadap seorang guru kelas. Mungkin itu rasa yang dibawa dari tahun sebelumnya. Sebaik-baik duduk di kerusi yang disediakan, terus sahaja lelaki bergelar ayah itu menghambur kata kurang enak pada pendengaran guru kelas itu.

Dalam nada tinggi, ayah itu meluah rasa, “Saya tidak pernah jentik pun anak saya di rumah, apatah lagi memukulnya. Bagaimanakah cikgu mengajar anak saya ini? Tidak perlu pukul atau rotan anak saya bagi memandaikannya. Sekiranya susah sangat belajar di dalam kelas ini, pindahkan sahaja dia ke kelas belakang!”

Guru kelas penanggung beban itu memandang ke arah anak muridnya yang duduk bersebelahan ayahnya, lalu bertanya, “Kamu mahu pindah ke kelas belakang?”

Murid lelaki bertubuh agak gempal itu menggeleng-geleng, sambil tersenyum simpul, tersipu-sipu bagai anak dara yang baru dirisik orang.

“Saya tidak peduli. Buatlah bagaimanapun, tetapi jangan sentuh anak saya. Di rumah, saya tidak pernah jentik pun anak saya ini!”

Guru kelas itu terkedu.

Seorang lagi penjaga murid duduk, setelah lelaki penghambur kata berlalu. Guru kelas menghulurkan buku berwarna biru tanpa sebarang kata. Ibu muda itu tersenyum, lantas membelek buku rekod prestasi anaknya. Guru kelas itu tidak membuka mulut, lalu ibu muda itu berkata, “Huh, sederhana sahaja keputusannya! Cikgu rotanlah anak saya ini. Saya hendak sangat dia masuk ke sekolah berasrama penuh tahun hadapan. Buatlah bagaimanapun, asalkan anak saya berjaya.”

Guru itu terkebil-kebil, dan terkedu lagi.

II
Semalam, aku mewakili Guru Penolong Kanan sekolahku menghadiri perhimpunan Hari Guru peringkat daerah Jempol dan Jelebu. Walaupun sambutan Hari Guru sebenar pada tanggal 16 Mei lalu, namun semangatnya masih dirai semalam bagi peringkat daerah ini. Perhimpunan ini dihadiri oleh para pentadbir sekolah seluruh daerah di bawah Pejabat Pelajaran Daerah Jempol/Jelebu, dan dirasmikan oleh Dr. Rais Yatim, selaku ahli parlimen Jelebu. Duduk di kalangan golongan pentadbir ini kurasakan diri juga selaku pentadbir. Semangat itu tiba-tiba meresap ke dalam diri. Tiga orang guru diraikan sebagai tokoh guru daerah pada tahun ini. Ganjaran RM1000 bagi setiap orang tokoh guru ditambah RM1000 lagi oleh Dr. Rais Yatim sebagai penambah rasa.

Apalah sangat ganjaran RM1000 tambah RM1000 itu berbanding khidmat bakti yang mereka curahkan. Bagiku, ia tidak lain hanya sekadar rasa meraikan. Ia seolah-olah memberikan hadiah gula-gula atau sebatang pensel kepada murid yang menjawab dengan betul soalan yang diajukan di dalam kelas. Jumlah sebegitu juga yang diberikan kepada guru-guru penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang saban tahun. Makanya, RM1000 yang sebegitu bukanlah sesuatu yang dikejar-kejar hingga meleleh air liur. Ia bukanlah faktor kepada semangat berlumba-lumba bagi mencurah khidmat bakti selagi ada kudrat dan nafas.

Menelusuri sumbangan ketiga-tiga tokoh guru ini, walaupun sekadar peringkat daerah, membuatkan semangat diri tersuntik bagi memberi erti lagi pada perjuangan dalam lapangan yang diceburi ini.

III
Kutinggalkan semalam, separuh tahun 2009 ini tanpa sebarang manuskrip novel yang berjaya kusudahkan. Aduhai!




Subhanallah…….!

5 comments:

maharam said...

Salam, sdr Mya Marja,
Perjuangan tidaklah hanya melalui titis dakwat yang akan diprint penerbit kemudian mendapat royalti saban tahun. Perjuangan juga bererti menulis di blog yang akan dibaca dan ditelaah sebilangan orang, kemudiannya membuka minda mereka.

Perjuangan juga bererti memberi peluang murid yang tidak tahu membaca sepatah harampun, akhirnya mampu membaca akhbar, tidak sahaja berikan deretan A yang panjang kepada pelajar setiap kali peperiksaan penting. Jadinya, di manapun kita, apapun yang dilakukan, tetap jua terus berjuang. Asalkan ikhlas.

Namun, sebenarnya lebih baik andai kita mampu buat semuanya... ;)
Selamat berjuang, cikgu!

MYA MARJA said...

Salam Sdr. Maharam. Terima kasih, cikgu! Amat bererti semuanya. Kekuatan jua yang kita pinta daripada-Nya.

kak ila said...

suruh je lelaki tu bukak sekolah sendiri di rumah, ajar seniri anaknya. baru dia tau macam mana mendidik.

dia duduk kat rumah beberapa jam, menggadap anak seorang, nak dibanding dgn cikgu yg berdepan dgn 40 orang budak, mengajar pulak tu. cantik muka dia?

dah, cikgu usah pedulikan anak dia lagi, nak belajar biar dia belajar, kalau tak, bio je. bio padan muka dia tak dapat perhatian cikgu. baru nyesal

MYA MARJA said...

Usah emosi sangat, Kak Ila. :D Itulah sebahagian asam garam menjadi pendidik; tetapi itu kisah benar rakan seperjuangan di sekolah itu. Kadang-kadang pelik juga memikirkan, dalam kelompok penghuni FELDA pun ada yang sebegitu perilakunya. Alhamdulillah!

MYA MARJA said...
This comment has been removed by the author.