Sudah lama tidak makan angin, berkereta di dalam negeri. Sesekali merayau, melihat banyak perubahan bentuk dan kemajuan duniawi. Lebih-lebih lagi di Melaka Bandaraya Bersejarah, di mana lagi tumpuan pelancong jika bukan di Bandar Hilir. Serpihan pintu gerbang kota lama, Kota A’Famosa dan sekitarnya menjadi tumpuan. Padang Pahlawan kini telah berubah wajah. Pusat membeli belah bawah tanah dibina begitu gah. Tiada lagi penjual barang-barang dan makanan tradisional yang berjaja di tepi-tepi jalan. Semuanya berubah tempat ke pusat membeli belah gah hebat itu. Tempatnya di bawah tanah, siap berpenghawa dingin.
Sewaktu meletakkan kereta, di tempat letak kereta terbuka berhampiran Padang Pahlawan yang makin gah kini, tidak perasan pun ada arahan membayar sekian duit sebagai bayaran letak kereta. Mungkin aku yang terburu-buru. Lebih-lebih lagi, sebelum ini di kawasan itu tidak perlu pun bayar apa-apa. Andai ada pun, dulu-dulu ada meter terpacak di sebelah tepi setiap petak letak kereta. Namun, hari itu tidak ada apa-apa tiang mahu pun kotak bermeter tempat membayar wang. Dengan bersahaja kaki melangkah ke pusat membeli belah bawah tanah yang gah itu. Dalam hati berkata-kata: Selamat sikit duit berbanding sekiranya meletakkan kereta di tempat berbayar di pusat membeli-belah itu.
Tercengang aku apabila mendapati ada surat saman pada cermin hadapan kereta sewaktu keluar daripada membeli-belah. Rupa-rupanya di situ merupakan kawasan meletakkan kereta berbayar. Tempat bayarannya pula nun di pintu masuk utama yang luas ternganga itu. Eh, tadi sewaktu masuk tidak nampak pun ada sesiapa berjaga di situ! Lalu, melayang RM30 sebagai denda. Denda atas kesalahan yang aku sendiri tidak tahu bahawa perkara itu salah. Cik adik manis yang berjaga di situ menunjukkan kad-kad yang perlu dibeli apabila meletakkan kenderaan di kawasan itu. Betul-betul seperti kad gores dan menang.
Cerita gores dan menang telah lama diperkatakan. Walaupun berulang kali penipuan berlaku terpapar di akhbar dan di televisyen, namun masih ramai yang terkena. Dengan menggunakan cara yang sama atau juga berlainan, orang ramai tetap tergoda dengan tawaran hadiah yang dijanjikan. Gelap mata dan gelap akal fikiran penangan kad gores dan menang. Aku juga hampir terkena seketika dahulu. Sekiranya dulu-dulu, hampir terkena penipuan kad gores dan menang. Kini, terkena betul penangan kad gores dan papar.
Dahiku berkerut. “Dulu-dulu tidak ada pun kad gores-gores seperti ini!”
“Ada encik. Kad gores dan menang masih berlambak-lambak sehingga hari ini.” Cik adik manis tersenyum simpul, seperti dibuat-buat.
“Itu kad gores dan menang. Bagi yang gelap mata, gores dulu, baru bayar. Ini bayar dulu, baru gores. Sekiranya tidak bayar melayang pula RM30!”
“Zaman sudah berubah! Sabar ya, encik. Anggap sahajalah RM30 itu bukan rezeki encik.”
Alhamdulillah….
6 comments:
ikut sedap tok nenek dia je criter pasal rezeki orang lain!
wakakaka
kaung kuang kuang....... nak jimat ha? cikgu sayang duit? sesekali cikgu pun terkena jg. hem... gelap mata sekejap, tak nampak tanda berbayar ke free.
Cik Anyss,
Tak mengapa dia cakap sebegitu. Masih dalam adab sopan. :)
Pn. Zalisa,
Ketawa mengubat duka. Lama tak berjalan, sesekali terkena.
Kak Ila,
Bukan niat tak mahu bayar. Memang tak perasan pun. Maka, lain kali jangan masuk lubang yang sama lagi. :D
He he he. Itulah dia.
Salam Maal Hijrah sahabat. Semoga 1430 menjanjikan lebih keberkatan dan kerahmatan buat kita semua.
Berkat. Rahmat. Alhamdulillah. Selamat terus berjuang sahabat!
Post a Comment