Alam saujana terhampar indah luas, menggamit saujana jiwa berbicara pada segala rupa. Bicaralah yang mulus daripada jiwa yang tulus...
16 October 2008
NASIB GURU
Guru wanita dakwa ditendang pelajar perempuan
KANGAR: Seorang guru wanita mendakwa ditendang di perut oleh seorang pelajar perempuan Tingkatan Dua ketika dia sedang mengajar di sekolahnya di sini, hari ini. Azhana Ibrahim berkata, beliau diserang pelajar itu kira-kira jam 10 pagi berikutan tindakannya cuba mendapatkan penjelasan daripada pelajar itu tentang perkataan 'gila babi' yang tertulis di belakang satu folio yang diarahkannya. Pelajar itu bersama seorang lagi pelajar perempuan yang menemui guru itu memanggil rakan mereka selepas berlaku pertengkaran dengan guru itu.
Ketika semakin ramai rakan pelajar itu datang, guru berkenaan ditendang sebelum lari menyelamatkan diri. Guru itu kemudiannya membuat laporan polis di balai polis Kangar selepas waktu persekolahan pada tengah hari kerana bimbang diancam pelajar itu. Beliau yang sudah lima tahun berkhidmat sebagai guru berkata, insiden itu adalah yang pertama ditempuhinya sepanjang perkhidmatannya.
Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Yusof Mohd Diah mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan. Sekolah itu mendapat perhatian ramai baru-baru ini apabila beberapa pelajar Islamnya terbabit mengiringi perarakan berhala sempena perayaan tokong sayur Buddha, di sini. – Bernama
Sumber: Berita Harian Online
………………………………..
Guru ditendang di perut. Dulu, guru dicekik. Dulu lagi, guru ditampar dan ditolak. Dulu lagi, guru disaman ibu bapa. Dulu-dulu lagi, ...ah, apa-apa lagi! Semua kubaca kisahnya di akhbar. Yang tidak terbaca, mungkin hanya dirahsiakan sahaja, entah berapa lagi.
Wahai guru,
Kiranya menjadi guru itu suatu kesengsaraan, maka sengsaramu ini bukanlah percuma. Segala ini akan diganjariNya dengan ganjaran tidak terduga. Dengan syarat, anda tabah reda atas segala yang menimpa. Dunia yang semakin canggih teknologi ini, cabaran menangani anak bangsa juga bukan calang-calang hebatnya. Dari awal lagi, andai bidang perguruan yang kita pilih, maka amat perlu diketahui bahawa perjalanan ini pasti banyak likunya. Kerjaya kita bukannya kerjaya memburu popular, atau juga mengejar harta bertimbun. Kerjaya kita menuntut kita berdiri teguh di sisi tiang sabar dan cekal. Sentiasa sematkan dalam hati niat awal kita menjadi guru, iaitu ingin melihat anak bangsa celik ilmu, beradab dan berakhlak mulia, dan menjadi bangsa berjaya. Perjuangan memandaikan bangsa terlalu luas ujiannya dalam bidang yang kita ceburi ini. Kitalah penyampai ilmu kepada anak bangsa. Dalam tulus usaha, lembut bicara, walau mungkin berkali-kali perasaan sendiri tersiat merana, kita tetap tempuh juga. Tugas menyampaikan ilmu, serta memimpin mendidik anak bangsa ke jalan kebaikan adalah tugas sepanjang kerjaya kita. Andai balasan yang diterima adalah dihujani ujian memeritkan, anggap ia sebagai asam garam perjuangan seorang guru pada zaman yang semakin menguji iman dan perasaan ini. Sesungguhnya balasan Allah jua yang kita harapkan pada segala yang kita usaha dan perjuangkan.
Wahai pelajar, anak bangsaku,
Kiranya dirimu berada di tempat seorang guru, bersediakah anda menerima nasib sebagaimana anda berikan kepada gurumu itu? Seseorang guru tidak minta lebih, melainkan ingin melihat anak didik mereka berjaya dan punyai sifat mulia terpuji. Semoga hidupmu terpimpin akhirnya.
Alhamdulillah...!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
6 comments:
Salam, saya pun seorang guru, rasa terpana dan sedih dengan keadaan yang berlaku. Yang pandai juga mereka, bukan?
Jemput datang singgah ke blog saya.
salam alaik...
saya dah baca novel "Guru Arkitek Bangsa".
TAJUK YG SANGAT MENARIK! dan menybbkn saya tertarik utk memilikinya.
maaf ya, sekadar pandangan. sebagai bakal guru dlm ms sebulan nnt, novel tu kurang menarik bagi mereka yang telah bergelar pelajar bidang pendidikan dan dah jalani praktikal. Namun sesuai bagi remaja yang berminat dlm bidang ini dan ingin mengetahui realiti kehidupan seorg yg bergelar pendidik.
Syabas diucapkan krn m'hasilkan karya ini. sekurang-kurangnya penulis tlh menggambarkan realiti seorg guru. Semoga insan yg betul2 berminat dan sdg berusaha menjadi guru tahu dan betul2 memahami falsafah seorang 'murabbi'. Bukan semata-mata krn wang dan keduniaan.
Walaubagaimana pun,t'dpt bbrapa ayat yg menarik. saya ulas novel ni kat blog saya. jemput dtg melawat dan beri pandangan.
Jika takut dibantai ombak, jangan berbanglo di tepi pantai :D
Wahai guru yang kukasih,
bersabarlah...
dengan karenah anak didikmu itu!
Semoga peristiwa sebegini tidak mematahkan semangat cikgu kita ini untuk terus mendidik anak bangsa:)
Saudara JIMI,
Zaman sudah berubah. Dulu akhbar besar, sekarang kecil. Dulu, tak ramai kurang ajar, sekarang...
Salam saudari Mukhlisin,
Terima kasih kerana mengikuti novel Guru Arkitek Bangsa. Novel itu ibarat kuih atau baju tempah. Saya menuliskannya mengikut orang yang menempah. Tujuan utama penulisannya itu adalah untuk golongan pelajar yang bercita-cita mahu menjadi guru. Juga, bagi perkongsian cerita dan pengalaman kepada masyarakat umum.
Terima kasih juga ulasan saudari.
Ustazah Zalisa,
Fuh, mendalam sungguh maksudnya ya! :D Terima kasih.
Ombak zaman sekarang ganasnya tak terduga.
Guru yang dikasihi,
Tabah reda, sabar dan terus berjuang. Hanya keredaanNYA yang kita pohonkan.
Ustazah Rafidah,
Ya, mudah-mudahan semangat guru-guru kita tidak patah semangat di tengah jalan perjuangan. Perjuangan memandaikan bangsa.
Post a Comment