11 September 2008

UPSR DAN BUDAK-BUDAK ITU

Alhamdulillah, UPSR berlangsung dengan aman dan selamat. Tiada kecoh-kecoh. Tiada terdengar berita kebocoran soalan, setakat ini. Aku menjadi pengawas UPSR telah berkali-kali. Namun, kali ini, betapa murid-murid itu berlainan amat. Mengantuk sangatkah mereka akibat berpuasa? Atau sudah memang begitu tabiat mereka. Baru kertas pertama, maknanya pagi masih basah, cahaya matahari masih kuning manja, mereka sudah melabuhkan muka ke meja, lalu tidur. Itu hak mereka sekiranya mahu tidur. Pengawas peperiksaan tidak boleh usik. Mungkin mereka mahu melelapkan mata barang seketika. Sesekali, kukuis jua tangan mereka, dan kuketuk perlahan meja mereka, agar tersedar jua. Namun, setiap kertas peperiksaan yang dilalui, pasti mereka melakukan aksi sama, tidur!

Yang kuawasi ini merupakan murid-murid pedalaman, nun di ceruk sana. Jalan menuju ke sekolah itu bertar, namun jarang dilalui orang, sempit pula. Lengang amat melalui jalan sempit itu. Kampung di kiri kanan jalan pun tidak terlihat. Kebanyakan tempat bersemak-samun, dan ada yang ditanami getah. Yang kulihat hanya sebuah kampung, itu pun hanya jalan masuknya sahaja. Rumah-rumah orang kampung jauh lagi ke dalam agaknya. Seketika kemudian, sampai di sekolah itu. Kampung di situ jua tidak riuh, lengang terasa. Murid sekolah itu juga tidak ramai, namun sekolah itu sekolah berasrama, walaupun sekolah rendah.

Yang menjadikan aku musykil sekarang, tergamaknya mereka tidur sewaktu menduduki peperiksaan sepenting ini. Ish, musykil amat!


Subhanallah...!

No comments: