26 September 2008

MAUT

Petang Ramadan itu, laluan itu sibuk. Laluan itu memang sentiasa sibuk. Budak malang itu baru berusia sebelas tahun, dan belajar dalam tahun lima. Dia membonceng rakannya, budak tahun enam sekolah yang sama. Motosikal itu pula sudah pasti milik abang, kakak atau orang tua budak itu. Budak lelaki sebelas tahun itu berbaju Melayu, mahu menghadiri majlis berbuka puasa di sekolahnya.

Sewaktu motosikal berada di tengah jalan, menanti membelok ke kanan, sebuah lori treler dari arah belakang menghentam! Kedua-dua budak malang itu terseret. Treler teruskan perjalanan, mungkin pemandunya takut dibelasah orang yang menyaksikan kejadian. Kepala budak tahun lima itu berkecai; otaknya terburai, bersama-sama cebis-cebis daging yang bersepah di atas jalan raya. Budak tahun enam itu pula menggeletek menggelepar, bagai ayam baharu disembelih. Serta-merta orang-orang yang menyaksikan peristiwa malang itu menyerbu ke lokasi kejadian.

Jalan itu memang sibuk. Jika tidak berhati-hati, memang mengundang padah. Lebih-lebih lagi apabila ada kenderaan dipandu laju dan terkocoh-kocoh. Guru kelas budak tahun lima itu beritahu, budak malang itu perangainya cukup baik. Sudah ajalnya. Budak tahun enam itu pula koma, dan dirujuk ke Kuala Lumpur.

Persoalan yang berlegar di kepalaku saat ini, mengapa budak sementah itu diizinkan menunggang motosikal, di jalan yang sibuk dan bahaya pula? Lesen memandu sudah tentu tiada. Kemahiran menunggang pula pasti jauh sekali. Alangkah!



Allahuakbar...!

4 comments:

Unknown said...

Inilah kesilapan ibu bapa. Hendak mudahkan anak tetapi tidak fikir bab keselamatan anak. Err sekali sekala saya pun bersikap begitu :(

MYA MARJA said...

Sekali-sekala tu yang bahaya ustazah. :,

Bunga Rampai said...

Salam Aidilfitri Mya Marja,

Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin.

Moga ke mana jua perjalanan pada hari meriah ini dilindungiNYA.

MYA MARJA said...

Salam Aidilfitri dan salam puasa enam buat Bunga Rampai. Salam lebaran, maaf zahir batin. Moga dilindungiNYA jua dalam perjalanan menuju impian .