Nyala rasa! Kata majmuk ini jarang sekali aku dengari, apatah lagi menyebutnya. Namun, setelah diteliti, ia boleh diertikan juga dengan rasa yang meluap-luap, rasa yang sentiasa ada gelora. Rasa yang jauh sekali dari dingin beku atau bisu. Rasa ini rasa yang menggelegak sentiasa. Lalu, bahasa mudahnya disebut nyala rasa. Ataupun sesekali menggunakan perkataan klise: ghairah!
Wah, sebegitu ghairah! Dalam hidup yang penuh debar dugaan ini, terkadang hati menjadi beku, malah kebosanan sesekali berkunjung dan menjerit kasar. Maka, ketika itu hati terus menjadi beku bagai air batu. Segala yang dilihat dan dilalui tiba-tiba bertukar menjadi rutin yang sangat membosankan dan membebankan. Alangkah deritanya jiwa andai itu yang sering bertandang. Dalam keadaan begini, pengharapan yang bagaimana harus disandarkan? Di sudut hati yang dalam mahu bangkit kembali. Namun, terkadang sisa kekuatan yang dicari tidak muncul-muncul. Waktu sebegini, kaki harus terus melangkah menyusuri perjuangan yang perlu diteruskan; perjuangan yang perlu digagahi. Bukankah kehidupan ini suatu perjuangan? Selagi nafas masih milik kita, selagi nyawa masih ada, perjuangan di jalan lurus walau penuh rintangan harus terus dilalui.
Nah, ini masanya nyala rasa itu disemarakkan! Hadapi segalanya ini dengan nyala rasa yang menjulang ke awan, meluap-luap, bersemarak! Setiap pekerjaan atau rutin harian yang disertai dengan nyala rasa ini dengan sendirinya menghalau kebekuan yang mencengkam. Sesekali cuba percayai ayat-ayat yang kususun di sini. Aku pun berkata sendirian: Wahai, diri, percayalah! Nyalakan semula rasa itu… Sesungguhnya hidup yang sering mengizinkan kebosanan dan kebekuan berkunjung datang adalah hidup yang sia-sia.
Selamat bernyala rasa! :)
Subhanallah...!
7 comments:
Wah! Satu lagi perkataan baru:)
Pelajaran baru hari ini daripada cikgu bahasa:)
Ya!Selamat Bernyala Rasa untuk menyiapkan karya:)
Adakah ianya mendahului perasaan yang membakar?
terima kasih perkataan baru itu. Nyala rasa di dalam hati kak ila untuk melahirkan novel terbaik untuk pembaca budiman dan guru muda mya marja.
betul tak ayat saya cikgu?
Ustazah Rafidah yang ceria,
Mungkin hanya yang pernah mengalami malap rasa, yang tahu betapa nyala rasa itu amat diperlukan. Lebih-lebih lagi bagi seseorang penulis yang baru mengenali apa itu A, B dan C.
Begitulah adanya, Tuan Keng. Mula-mula menyala, keudian membakar, lalu akhirnya marak menggila. Bagaimana mahu marak, andai nyala yang pertama tak ditemui?
"Nyala rasa di dalam hati kak ila untuk melahirkan novel terbaik untuk pembaca budiman dan guru muda mya marja."
~Nyala rasa di dalam hati Kak Ila untuk melahirkan novel terbaik bagi pembaca budiman, lebih-lebih lagi buat guru muda seperti Mya Marja.
Eh, muda lagi ke dia yang bernama Mya Marja ini!... :) Terima kasih, Kak Ila.
Terima kasih kerana menambah kosa kata saya juga. Bolehkah kita samakan dengan perkataan bahasa Inggeris 'passionate'? Sudah lama saya cari padanan yang sesuai untuk kata ini selain perkataan 'ghairah'. Nyala rasa nampaknya amat sesuai.
Salam,
Kalau terlebih nyala bahaya juga ... boleh rentung jadinya :P
Entri yang cukup bersemangat! Terima kasih membangkit jiwa untuk menyalakan rasa saya untuk berjuang ...
Kadang-kadang kita perlu lebih merasai perit agar nyala rasa itu kembali menyala-nyala. Selamat berkarya, Puan Shima!
Salam BR...Biar rentung, kemudian nyalakan lagi, dan lagi... :) Selamat terus berjuang, BR!
Post a Comment