29 November 2007

SAAT SENDIRI

ANDAI

Andai sepi itu indah
peluk ia semahumu.

Andai sendirian itu damai
dampingi ia semesramu.

Andai diam itu bahagia
diam dan tutup mulutmu.

Andai aku api
lenyapkan aku
daripada membakarmu.

Andai aku racun
usah kauminum
kerana aku perosak akalmu.

Andai aku musuh
lemparkan aku jauh
ke tanah kenangan.

Ukirkan senyum di bibirmu
saat engkau berjaya
mengusir gundah
dan segala susah
yang menyekat bahagiamu.

MYA MARJA
Bandar Seri Jempol, NS.
Alhamdulillah.....

25 November 2007

LUMBA

Dulu-dulu, waktu masih di bangku sekolah, aku memang cukup gemar menonton perlumbaan motosikal besar, biar pun hanya melalui kaca televisyen. Guruku beritahu bahawa apa yang ditonton itu melambangkan diri kita yang sebenar. Beliau mengambil contoh dengan memberikan pertanyaan: Jika dalam perlumbaan itu ada peserta yang terjatuh dari motosikal, apakah reaksi kita? Jika kalian peminat sukan lumba motosikal, apakah perasaan dan reaksi kalian ketika itu?

Perasaan yang terbit tanpa dipaksa dan berselindung di balik topeng kepura-puraan itu melambangkan siapa diri kita sebenar. Mungkin ada yang berperasaan kagum melihat hero motornya terjatuh tetapi masih boleh bertahan tanpa patah riuk. Mungkin ada yang berkata, “Fuyooh… dia jatuh lagi!” kemudian diikuti kekekan ketawanya yang tidak sudah. Mungkin ada yang berasa sebak dan hampir mengeluarkan air mata, atau juga mungkin ada yang berasa ngeri teramat.

Bagi mengetahui diri kita yang sebenar, mudah sahaja. Jika kita berasa kagum melihat penunggang yang jatuh itu tidak mengalami sebarang kecederaan, bermakna dalam hidup sebenar kita dalam golongan pengagum. Apa-apa sahaja yang orang lain cuba, lalu tidak berjaya, dan kemudian bangkit semula, di situ kita akan berasa kagum. Kekaguman itu disebabkan melihat kecekalan hati manusia berani itu terus mencuba, lalu sedikit-sedikit mahu ditiru dalam kehidupan sendiri.

Jika kita berasa riang gembira dan merasa terhibur dengan jatuhnya pelumba motosikal itu, lalu berkata, “Ini yang aku nanti-nantikan. Rugi menonton perlumbaan ini jika tiada sesiapa yang terjatuh atau berlanggar. Lebih hebat lagi jika ada motosikal yang berdentum hancur lalu terbakar!”, bermakna dalam hidup ini kita memang suka melihat orang lain jatuh. Walaupun mungkin kita tidak bertepuk sorak sewaktu melihat kejatuhan orang lain, di dalam hati pasti terbit rasa gembira bukan kepalang. Lalu, di dalam hati berbisik-bisik, “Si polan sudah jatuh tergolek, terjelepok. Dia ingat dunia ini milik dia. Sekarang jatuh juga dia. Rasakan peritnya jatuh, rasakan!”

Jika kita terasa simpati atau ngeri sewaktu melihat jaguh-jaguh lumba itu terjatuh di litar, bermakna kita adalah seorang yang tidak kuat menempuh dugaan. Atau pun mungkin juga kita ini seorang yang mudah bersimpati atas kejatuhan, ketewasan mahu pun kehancuran hidup orang lain. Yang pastinya golongan seperti ini pemurah dengan air mata, sikit-sikit ditumpahkan air matanya. Ada masalah kecil-kecil pun tertumpah air matanya. Mungkin mereka yang berada dalam golongan ini tidak mempunyai hati sekeras waja.

Perlu kita ingat bahawa para pelumba itu telah dilatih pelbagai ilmu perlumbaan. Antara ilmu itu adalah ilmu menghadapi kejatuhan. Sungguh pun mereka jatuh bergolek dan menggelongsor, pasti tiada kecederaan. Jika ada mungkin sedikit sahaja; kecuali yang jatuhnya begitu dahsyat, mungkin ada yang lumpuh atau mati. Pengajaran yang dapat diambil daripada situasi itu adalah, sewaktu mahu menempuh sesuatu, maka persediaan dari semua sudut perlu dilakukan.

Benarkah firasat seperti ini? Dulu-dulu, aku tidak pernah ambil pusing tentang itu. Namun, apabila usia merangkak dewasa, terasa pula benarnya kata-kata guruku itu. Terasa amat. Bagiku, mereka yang suka menonton sesuatu perlumbaan, bermakna seseorang itu mempunyai naluri berlumba di dalam dirinya; berlumba bagi mencapai kejayaan. Ayuh, kita berlumba-lumba!



Alhamdulillah……

23 November 2007

ANUGERAH

Sibuk-sibuk sangat menentang anugerah itu mengapa? Elok juga sesekali diberi anugerah penyapu itu. Penyapu itu pun bukannya penyapu buruk dan busuk; baharu beli di kedai penyapu itu. Bukankah makna daripada penyapu itu cukup terang, jelas dan nyata? Yang memberikan anugerah itu pun bukannya sehari dua jadi ketua sebuah negeri yang sudah dimasyhurkan sebagai negeri maju itu. Banyak ceruk rantau di negeri jagaannya itu sudah dijelajahinya. Jadi, dia lebih maklum akan hal ehwal di dalam negerinya. Mungkin dia tidak berpuas hati dengan tahap kebersihan di sesuatu kawasan itu. Atau pun mungkin dia tidak berpuas hati dengan pungutan cukai pihak berkuasa di kawasan itu. Atau pun mungkin juga semua kemungkinan lain itu ada, yang pastinya ia sesuatu kemungkinan yang tidak dapat dibanggakan.

Sudah bertahun-tahun menjaga sesuatu kawasan, masih tidak mampu lagi meningkat serba-serbi dari segala sudut. Jika begitu, mana mungkin setaraf dengan negeri maju yang baharu dicanangkan itu. Setakat maju dari segi pelaburan luar dan hasil keluaran sektor industri belum memadai. Rakyat juga mahu melihat kebersihan sesuatu kawasan itu ditingkatkan. Begitu juga tahap kemudahan yang diberikan.

Kata orang-orang yang sibuk-sibuk menentang itu, beri sahaja benda lain, bukannya penyapu; buruk sangat, jijik sangat, lekeh sangat! Mereka sudah lama diberi peluang sebenarnya. Sudah bertahun-tahun diberi peluang dan masa, masih tidak mahu berubah menjadi lebih baik; nah, ambil penyapu ini! Turun padang dan sapu segala sampah di situ! Sapu juga segala susah, segala payah, segala rumit dan segala yang kita tidak perlukan! Bukankah jelas maksud anugerah itu? Itu pun hendak berasa malu. Jangan asyik pandai dan berlumba-lumba memegang jawatan tinggi sahaja; perlu pandai juga membuat kerja mengikut tahap yang ditetapkan.

Jika di sekolah, anugerah tikus memang sesuai diberi kepada kelas yang tercorot tahap kebersihannya. Anugerah gambar tikus sahaja, bukannya tikus betul. Sesuai dengan tahap kebersihan sesuatu kelas yang menerima anugerah itu, masuk-masuk sahaja ke dalam kelas, bersepah-sepah sampah, bertabur-tabur di sana-sini. Murid-murid di dalam kelas itu mahu tunggu pihak Majlis Perbandaran membersihkannya agaknya. Jika tidak pun mahu tunggu guru-guru yang mengajar mereka membersihkannya. Bukankah elok jika diberi anugerah tikus itu? Yang menerima anugerah itu pula ialah guru dan ketua kelas tercorot tahap kebersihannya, pasti merah merona muka mereka sewaktu menerima anugerah itu. Esok lusa, bersih kelas itu! Tidak percaya, cuba praktikkan.

Jika di dalam kelas, andai anugerah penyapu yang diberi, pasti seronok guru kelas dan murid-muridnya sebab bertambah harta kelas itu. Esok lusa kotorkan lagi kelas tersebut, dapat lagi sebatang penyapu. Situasi sebegitu pasti tidak mengubah apa-apa. Jadi, berikan sahaja anugerah tikus. Gambar tikus itu pula besar, kotor, dan comot. Kemudian, ditampalkan di pintu masuk kelas, siap dengan nama guru dan ketua kelasnya sekali. Lebih murni jika ditampalkan sekali gambar guru dan ketua kelas itu. Namun, jika semua kelas mencapai tahap yang ditetapkan, tidak perlu anugerah seperti itu. Jangan pula sampai menganiaya orang. Bimbang bertambah pula bilangan pesakit mental di negara ini.

Namun, di peringkat tinggi, peringkat negeri misalnya, memang sesuai anugerah penyapu itu. Memang sesuai! Jika ada yang terasa, buat-buat kerja yang diamanahkan, jangan duduk sahaja. Dia ingat pengerusi itu kerjanya hanya duduk di kerusi sahaja? Banyak cantik muka dia!



Subhanallah…..

13 November 2007

BANK DAN BONUS



Sewaktu aku memasuki sebuah bank di daerah ini bagi menyelesaikan urusan cek, aku terlihat pada baju seorang kakitangan bank itu sebuah lencana bulat. Butang itu sebesar luas tapak tangan, berwarna hitam dan bertulisan merah. Dulu-dulu, butang seperti itu memang sangat popular di kalangan anak muda remaja sepertiku. Jika tidak disemat pada baju, topi dan beg menjadi mangsanya. Pada butang besar yang dipakai kakitangan bank itu tertera tulisan: Bank ROMPAK Bonus Kami! Pada mulanya aku terkejut juga melihat tulisan itu, seolah-olah perkataan rompak itu langsung tidak ditakuti oleh kakitangan bank tersebut. Aku lihat beberapa orang kakitangan lain turut memakai lencana itu.

Aku tidak jadi terus berurusan di situ, sebab kata kakitangan bank tersebut cek itu tidak dapat ditunaikan, melainkan hanya boleh dimasukkan ke dalam akaun bank. Malangnya, aku tiada sebarang buku akaun bagi bank tersebut. Jadi, mahu tidak mahu, aku melangkah keluar dan menuju ke sebuah bank yang aku punyai buku akaunnya. Kebetulan, memang aku bawa ke mana-mana buku akaun bank tersebut. Sampai di dalam bank berlogo kepala harimau itu, aku lihat dua orang kakitangan yang menunggu di kaunter tiket dan pertanyaan. Pada bajunya aku terlihat butang yang sama sebagaimana di dalam bank sebelumnya.

Sewaktu meminta sehelai borang bagi kemasukan cek, sempat aku bertanya kakitangan itu, “Tidak dapat bonuskah tahun ini?”

Kakitangan itu menjawab, tanpa manis senyuman, “Tidak dapat!”

“Dulu-dulu dapat berapa bulan bonus setiap tahun?” tanyaku lagi.

Dia menjawab, “Dua bulan.”

Sengaja aku bertanya lagi, “Dua bulan sahaja, bukan empat bulan?”

Dia menjawab lagi, “Bonus empat bulan itu bank lain.”

Aku cuba mengujinya, “Kakitangan kerajaan pun tidak dapat bonus, tahu? Jika dapat pun dulu-dulu sebulan gaji sahaja.”

Dia membalas, “Kakitangan kerajaan sudah dapat kenaikan gaji, kami tiada!”

Aku menghadiahinya senyuman, lalu berlalu dari situ bagi menyelesaikan urusan utamaku ke situ. Wah, kakitangan bank memang cukup berani membuat protes seperti itu! Mereka tidak takut dibuang kerja agaknya. Mengapakah mahu dibuang kerja pula jika mereka pakat ramai-ramai memakai lencana serupa? Agaknya jika kakitangan kerajaan turut memakai lencana yang sama, mungkin lencana itu akan tertera ayat: Kerajaan ROMPAK Bonus Kami! Mungkin…


Alhamdulillah…..

11 November 2007

CERITA HUJUNG PENGGAL



Penggal persekolahan hampir berakhir. Semakin menghampiri titik dan garis penghujung ini, banyak pula aktiviti yang tersedia untuk guru-guru. Senario ini berlaku kepada guru di seluruh Malaysia pastinya! Sewaktu sibuk menyiapkan mahu pun menyemak kertas-kertas peperiksaan dalaman atau peperiksaan bertaraf kebangsaan, banyak pula kursus yang perlu dihadiri. Waktu yang menghampiri ke hujung penggal ini, tiga kursus terpaksa kuhadiri. Bukannya kursus sehari, tetapi tiga atau empat hari. Tempatnya pula sudah pasti di hotel-hotel. Dahulu-dahulu, amat teruja jika dapat berkursus di hotel. Situasinya amat berbeza kini apabila terasa muak pula jika diminta berkursus di hotel. Dahulu, tidak pernah ada peluang berkursus di hotel, paling tinggi pun di Pusat Kegiatan Guru atau di maktab perguruan.

Kursus yang berlambak dan dilambakkan pada hujung penggal ini bukan disengajakan, tetapi bagiku ia suatu keadaan yang diada-adakan. Dalam satu minggu pernah ada empat atau lima kursus serentak. Bayangkan jika sebuah sekolah yang kecil, empat atau lima orang guru tiada di sekolah serentak dalam minggu berkenaan. Pengendali kursus acap kali memberitahu bahawa kebanyakan kursus dibuat pada akhir penggal persekolahan disebabkan duit peruntukan baharu sampai ke jabatan pelajaran. Pihak jabatan pelajaran terpaksa merancang dan membuat program agar duit itu habis digunakan. Jika tidak habis digunakan, tahun berikutnya pasti sejumlah duit seperti itu tidak akan diterima lagi. Mahu tidak mahu, kursus-kursus kepada guru-guru, guna bagi meningkatkan profesionalisme guru dan kebaikan anak-anak murid terpaksa dijalankan. Itu karenah birokrasi yang perlu dihadapi oleh bidang pendidikan. Mungkin juga situasi sama bagi kementerian lain.

Maka, bagi ibu bapa yang sangat prihatin mulai bersungut dan merungut-rungut. Anak-anak datang ke sekolah tetapi guru tiada, guru tidak masuk ke dalam kelas, guru tidak mengajari anak mereka dan apa-apa lagi. Elok juga ada ibu bapa seperti itu. Sekurang-kurangnya ia dapat menambah tekanan kepada guru-guru. Jika tidak, guru-guru akan bergoyang kaki sahaja kerjanya. Kerja sudah senang, pergi ke sekolah jam tujuh pagi, balik dari sekolah jam satu atau dua petang. Kemudian, rehat sahaja hidup guru-guru ini. Senangnya! Mudahnya!

Selain kursus yang berlambak seperti itu, pada hujung penggal sebegini, perkhemahan wajib bagi setiap sekolah turut diadakan. Sudah pasti perkhemahan itu memakan masa tiga hari dua malam. Lokasi perkhemahan terpulang kepada pihak sekolah menentukan, sama ada dijalankan di kawasan sekolah mahu pun di lokasi luar yang bersesuaian. Jika hujan, berhujan bersama-sama murid, jika panas, berpanas bersama-sama murid. Jika murid tidur di dalam khemah, guru perlu jadi pengawal keselamatan. Ah, alangkah mudah kerja guru! Berkhemah pula! Bagi jawatan lain, mungkin tentera yang paling banyak berkhemah seperti itu. Bagi guru, semua boleh sahaja!

Hari Anugerah atau dahulu disebut Hari Ucapan dan Penyampaian Hadiah adalah sesuatu yang wajib setiap hujung penggal, hujung tahun dijalankan. Rancangan perlu dirangka, hadiah perlu dibeli, orang-orang penting perlu dijemput, dewan perlu disiapkan, latihan acara persembahan perlu dijalankan dan apa-apa lagi. Selesai acara, dewan perlu dikemaskan semula.

Maka, saban tahun akan berulang rutin yang serupa.


Alhamdulillah…..

10 November 2007

CERITA HUJUNG SYAWAL


Ramli berbual-bual dengan Kamal sewaktu berkunjung ke sebuah rumah seorang rakan. Waktu kunjungan itu, rakan mereka tiada di rumah. Yang melayan mereka hanya Pak Zali yang sudah kurang tahap pendengaran. Perbualan mereka seputar hal di dalam rumah itu sahaja. Televisyen saluran swasta menyiarkan sebuah rancangan popular, rancangan berbentuk perbualan.

Ramli : Dahulu elok bertudung, sekarang sudah dibuka semula.

Kamal : Dahulu dia menghormati bulan puasa. Sekarang bulan raya, semua mesti berhari raya.

Ramli : Bagus sangat jika begitu. Saya jangka dan sangka, dia sudah insaf. Kadang-kadang kasihan tengok dia. Wajahnya cantik, comel dan bergetah walaupun sudah pernah berkahwin. Apakah yang mahu ditunjukkan sebenarnya?

Kamal : Dia mahu tunjukkan kecantikan wajahnya itu. Nanti sia-sia pula jika bertutup rapi. Sekurang-kurangnya tidak rimas dan panas dek bertudung.

Ramli : Macam tiada pegangan agama pula dia ini. Tidak terfikirkah rimas dan panas di akhirat nanti? Pakai tudung sudah seperti adat pula. Waktu bulan puasa sahaja pakai, selepas bulan puasa buka pula. Ada orang lain itu, waktu ziarah kematian atau waktu mahu baca tahlil, pakai tudung penuh, sopan-santun betul, tetapi selepas itu buka semula. Katanya selepas pergi haji nanti dia hendak bertudung terus.

Kamal : Itu tidak mengapa lagi. Ada seorang penyanyi yang perasan popular itu lagi bagus, sudah naik haji tetapi balik dari Mekah berpakaian seperti orang tidak pernah bertaubat; menampakkan pusat dan benda yang berbonjol-bonjol lagi.

Ramli : Astaghfirullahalazim! Cakap-cakap kita ini nampaknya sudah jauh tersasar. Elok diri bersih dan berkeadaan fitrah, terpalit pula dengan dosa mengumpat. Bukankah elok kita jaga tepi kain sendiri?

Kamal : Ya, betul katamu itu! Tepi kain kita pun terkoyak juga, tetapi tepi kain orang juga yang kita nampak. Namun, sebenarnya saya berasa sangat kasihan kepada wanita-wanita yang kita perkatakan tadi.

Ramli : Ya, kasihan! Itu sahaja yang dapat kita ungkapkan.

Kamal : Kasihan!

Pak Zali : Eh, apakah yang kamu berdua bualkan itu? Tidak makan kuih raya? Jangan kasihan pada kuih-kuih raya itu, makan sahaja dan habiskan. Sudah hujung-hujung Syawal ini, biasanya tinggal habuk dan serdak kuih sahaja. Kamu awal-awal raya dahulu tidak nampak pun batang hidung.

Ramli dan Kamal tersengih-sengih. Mereka terangguk-angguk apabila dipelawa makan kuih raya yang bersisa di dalam beberapa buah balang kuih di atas meja.




Allahuakbar!.....