05 December 2007

TIADA REZEKI

Sewaktu menghadiri jemputan majlis perkahwinan seseorang, aku berasa terkejut. Waktu itu baharu pukul satu lebih, belum pukul satu setengah pun. Namun, para tetamu sudah lengang. Ada dua tiga buah meja bulat yang masih bertetamu. Aku bertambah terkejut apabila mengambil nasi minyak yang tersedia di dalam bekas bersebelahan khemah; tinggal nasi dan kuah sahaja! Mahu tidak mahu, aku cedok juga kuah kari itu, lalu kutuangkan ke atas nasi. Aku sangka lauk, ayam atau daging lembu, rupa-rupanya bawang merah dan putih yang tidak berkisar atau dihiris-hiris. Itu kali pertama aku jumpa lauk kenduri orang kahwin berupa bawang bulat solid, nasib baik kulitnya sudah dikupas. Dalam hati berkata-kata: Adakah ini lauk terkini dalam aliran resepi masa kini? Oh, Tuhan!

Waktu satu lebih itu jika majlis kenduri kahwin di rumah orang kampung yang lain memang masih banyak nasi dan lauk yang tersedia buat tetamu. Namun, rumah yang aku hadiri itu menggunakan khidmat katering. Semua urusan hidangan diserahkan kepada pengurusan katering. Penduduk setempat sekadar mengangkut pinggan dan gelas kosong ke tempat basuhan. Aku lihat bersusun-susun mangkuk cendol bersandar di tiang khemah ungu nan indah itu. Pastinya cendol itu juga sudah langsai, tinggal bekasnya sahaja. Apabila melihat khemah yang dihias cantik itu, rasa tidak sepadan dengan hidangan yang disediakan. Dalam hati berkata lagi: Tuan rumah ini terlebih jemput tetamu atau tidak cukup bajet?

Tuan rumah menghampiriku dengan wajah ceria. Sambil tersengih-sengih dia bertanya, “Sudah makan?” Aku angguk-angguk sambil membalas dengan senyuman; senyuman ikhlas. Aku mahu menjawab: Sudah makan. Istimewa sungguh hidangan di sini, bawang merah dan putih berkupas. Namun, tidak terkeluar di kerongkongan; tersekat di halkum, mungkin terlebih telan kuah bawang. Aku lihat masih ada tiga empat keluarga yang hadir, memenuhi jemputan kenduri; bukankah memenuhi jemputan kenduri itu wajib hukumnya jika tiada aral? Namun, apakah pula kewajiban tuan rumah? Aku lihat berkerut-kerut dahi tetamu yang baharu hadir itu sewaktu mencedok kuah kari yang direnangi bawang. Hmm…

Sewaktu mahu pulang, aku hulurkan tangan; huluran berisi. Jika huluran itu sebagai harga nasi yang aku makan, ia mungkin lima kali ganda nilainya. Namun, tidak sesekali aku berkata-kata demikian dalam hati ini. Sebaliknya, hatiku berkata: Jika ada rezeki tidak ke mana, jika tiada rezeki, apa mahu buat? Aku membelek-belek lagi kad jemputan ke majlis kenduri itu di dalam kereta. Aku lihat masa jamuan dari pukul dua belas tengah hari hingga empat petang. Aku lihat jam di tangan, baharu satu empat puluh. Dalam hati berkata lagi: Tiada rezeki, tiada rezeki…



Alhamdulillah…..

10 comments:

Bunga Rampai said...

Salam,

Pertama kali mendengar cerita begini. Ya, secara kasarnya tiada rezeki. Namun jika diteliti dengan mata hati, peristiwa ini sebenarnya satu rezeki. Rezeki diberi ujian yang dapat mengasuh hati untuk bersabar. Beruntungnya kamu.

blackpurple @ jowopinter said...

Assalamualaikum mas,

Saya tidak mahu menyentuh yang itu. Tak adillah untuk saya berburuk sangka sedangkan saya tiada di situ, dijemput pun tidak. Cuma saya ikut bersimpatilah. Tetapi pasti ada hikmahnya.

Rata-rata sekarang sudah menggunakan katering, di sesetengah kampung juga. Semakin menjarakkan institusi kejiranan. Konsep gotong royong semakin pudar di dalam masyarakat Melayu kita. Sedih.

Unknown said...

Kabare kang,
Kalau ini sampai terjadi di tempat kita, tuan rumah tentunya malu besar sampai tak nak keluar rumah. Tapi ini terjadi di tempat kitakah?

Kalau bukan rezeki, dah lalu tekak pun boleh keluar semula.

MYA MARJA said...

Sihat hendaknya kamu Dik Nin,
Wah, rezekimu makin kencang masuknya! Tahniah, ya!

Ini kisah di tempat tinggalku sekarang ini. Heh.. satu dalam seribu; itu satu-satunya rumah yang begitu. Selama ini tidak pernah jumpa peristiwa seumpama itu. Jika di tempat kita, sampai melimpah-ruah nasi dan lauk, siap bawa balik lagi.

MYA MARJA said...

Salam kembali Bunga Rampai,
Ya, memang itu suatu rezeki. Segala senang atau susah itu suatu nikmat akhirnya jika kita mengerti hikmah di sebaliknya.

MYA MARJA said...

Alaikumussalam, Jowopinter,

Makin lama makin pintar kamu, ya.

Zaman makin berubah. Jika guna sistem katering pun masih boleh bergotong-royong lagi sebenarnya. Katering itu biar pada hidangan sahaja memadai. Bagi kerja-kerja yang lain, bergotong-royong apa salahnya.

norzailina said...

Ini dugaan waktu khenduri utk tuan rumah. Kdg2 tetamu ramai, lauk mencukupi saja. Kdg2 sebaliknya. Moga2 ia tak berlaku pada diri kita sendiri bila giliran kita jadi tuan rumah pula...
Bawang pun bagus, sedara, banyak Vitamin B. Bila makan satay ngan timun, mengurangkan efek carcinogens karbon di bahagian satay yg hangus tuu...oopps, terbabas ckp pasal masakan laks..!!

MYA MARJA said...

Betul, memang bagus bawang itu, Kak Norza. Jika tidak mana mungkin ada bawang dalam bentuk kapsul atau pil, dapat sambutan hangat lagi. Namun, bawang yang itu bulat solid, timun tiada, sate jauh sekali; hirup kuah sahaja jawabnya. Akhirnya, buat-buat tidak nampak sahaja pada bawang malang itu. He he..

Unknown said...

Tiada rejeki. Jika datang awal pagi pun belum tentu berlaukkan daging :D

MYA MARJA said...

Rejeki ada di mana-mana, betul enggak ustazah? Datang awal sangat memang lauk belum masak. Jika guna khidmat katering, masa itu hidangan masih dalam perjalanan lagi. ;D