Biasanya apabila kita menikmati puisi, pasti kita disajikan dengan bahasa yang indah-indah serta dahsyat-dahsyat kata dan makna yang terkandung di sebaliknya. Makna yang diungkap juga boleh jadi pelbagai; bagai sekali batu dibaling, dua ekor burung yang kena. Puisi itu mulus-mulus berlapikkan bahasa walaupun mungkin tujuan puisi itu mahu menyampaikan sesuatu yang keras dan kasar. Itu asas puisi yang aku dapat baca sebagai pembaca biasa yang tidak berapa faham tentang puisi dari dahulu hingga kini.
Namun, ada juga puisi yang menggunakan bahasa biasa, selamba, seolah-olah bahasa percakapan harian. Apabila ia disusun menjadi satu perenggan tulisan, seolah-olah bukan puisi apabila dibaca semula. Puisi seperti itu sering aku lihat garapan penyair-penyair hebat dan tersohor, mana mungkin orang biasa-biasa seperti aku ini menggarapnya serta mendapat tempat pula di mana-mana penerbitan. Apatah lagi jika puisi itu mengandungi kata-kata keras, kasar dan mengandungi bahasa yang tidak lembut puitis. Orang biasa-biasa sepertiku jika mahu menulis puisi, gunakan teknik dan asas puisi itu betul-betul, lurus-lurus; jangan keluar daripada sempadan hukum puisi itu.
Jika ada puisi-puisi yang terbit itu seperti kasar bahasanya dan menggunakan kata-kata yang kurang enak jika dinikmati, maka puisi-puisi itu pastinya daripada penyair tersohor. Sebagai contoh, aku pernah terbaca puisi tentang binatang jalang, serigala dalam gelas susu, dan lalat di masjid tulisan penyair tersohor pastinya. Yang lain-lain itu mungkin ada banyak lagi, tetapi aku bukannya minat sangat pada puisi sebelum ini. Akhir-akhir ini sahaja timbul sedikit minat dan cuba-cuba menulis.
Andainya aku yang menuliskan puisi menggunakan perkataan biasa atau kasar sahaja bunyinya, rasa-rasanya adakah pihak penerbitan akan menerbitkannya? Aku dapat mengagak jawapannya: Tunggu sehingga namamu sebaris dengan mereka, atau sekurang-kurangnya menghampiri kedudukan mereka. Jika ada idea bagi menuliskan puisi seperti itu, terus sahaja aku tuliskan, lalu kemudiannya simpan elok-elok jadi koleksi peribadi dan duduk diam-diam.
Antara puisi berbunyi kasar itu ingin aku kongsikan di sini:
HAIRAN
Aku menjadi hairan
di negeri manusia
berekor-ekor babi memandu kereta
dan kenderaan-kenderaan beroda
memacu laju di jalan raya.
Berekor-ekor babi
semuanya buta
buta mata buta hati
melulu kenderaan dipandu
menderu-deru
tidak menentu.
Babi meluru melulu
tanpa mata tanpa hati
tanpa otak tanpa akal
meraung meronta di jalan raya
memercik darah merata-rata
menghambur hanyir merobek luka
nyawa melayang percuma.
MYA MARJA
Bandar Seri Jempol, NS.
Apabila difikir-fikirkan, hendak hantar puisi seperti ini ke syarikat penerbitan pun rasa segan.
6 comments:
Salam,
Saya suka puisi ini. Cukup simbolik. Sinis. Sebuah negeri manusia yang penghuninya berperangai babi?
Saya rasa pihak penerbitan boleh bertolak ansur. Kalau 'babi' itu menyinggung beberapa pihak, barangkali boleh diganti dgn perkataan lain yang dapat mewakili haiwan itu.
Salam mas,
Bagi saya tak kasar kalau itu sengaja ditulis untuk 'menguatkan' lagi maksud yang tersirat. Cuma kalau adapun yang terusik atau mempertikaikan, barangkali dari segi penggunaan frasa-frasa tertentu. 'Babi' itu misalnya.
Cuba baca sajak-sajak Salleh Ben Joned, Rahmat Haron, Abdullah Jones mahupun penjayak dari Indonesia, Remy Sylado itu. Lebih kasar kalau diperhatikan. Tapi seninya tetap ada. Kalau itu sampai maksudnya.
Salam kembali BR,
Ya, simbolik. Terima kasih kerana menyukainya.'Babi' itu boleh juga ditukar kepada siamang, keldai, tapir, tenuk dan seumpamanya.
Salam juga JP yang hensem,
Bagi sesetengah penulis, memang ia tidak kasar. Namun, bagi golongan pembaca, ia harus dikategorikan dalam sajak underground mungkin. Sajak mereka yang kamu sebutkan memang kasar dan penuh seni. Tabik kepada mereka.
babi tak tahu apa2, tak tahu juga kenapa namanya sering digunakan sewaktu memaki, marah dan benci. tapi sajak tu, tak macam memaki, benci pun tak, mungkin marahlah tu....
Kak Ila,
Banyak juga sajak marah, tetapi simpan sendiri sahaja. Itu sajak marah kepada manusia yang seperti itu.
Mengapakah babi, bukan yang lain-lain? Pernah lihat babi berlari? Jika babi melintas jalan memang tidak lihat kiri kanan. Jika babi itu berlari-lari di dalam kebun atau di jalan, memang sesuai sangat dengan ungkapan 'membabi buta' itu.
ini sajak yang bagus.
tapi perlu saya perjelaskan bukan semua sajak saya kasar. tapi saya tak perlukan persetujuan atau mengharapkan puja-pujian. sebenarnya bila sudah menulis, terserahlah pembaca menilainya. ada yang suka. ada yang benci. ada yang setuju. ada yang maki.
tapi usaha saudara sangatlah baik. salut! mungkin saya hanya bernasib baik.
Post a Comment