Sewaktu mengikuti berita tentang banjir di kaca televisyen, tiba-tiba skrin bertukar putih. Dua orang lelaki muncul dan berbual-bual.
Kamal : Engkau pelik atau tidak dengan macam-macam perkara yang berlaku pada musim banjir ini?
Ramli : Macam-macam perkara itu apa? Aku tidak dapat menekanya.
Kamal : Engkau tidak berasa pelikkah melihat ada orang menjala ikan di sungai?
Ramli : Apakah yang peliknya? Elok menjala, boleh juga dapat ikan banyak. Ikan besar boleh jual, ikan kecil boleh sedekah.
Kamal : Bukankah dua hari sebelum itu sudah ada orang meninggal dunia akibat tenggelam di dalam arus deras lalu hanyut ke sungai? Perkara terakhir dibuat orang yang meninggal dunia itu adalah menjala ikan di sungai dalam musim banjir begini.
Ramli : Mahu cari makan, harung sahaja walaupun hujan dan banjir. Nyawa bagi mereka urusan Tuhan, di mana-mana pun boleh tercabut. Namun, ada satu perkara yang lebih pelik, engkau mahu tahu?
Kamal : Cakap sahaja, aku sedia mendengar.
Ramli : Setiap kali musim banjir ada sahaja manusia tersengih-sengih di hadapan kamera televisyen.
Kamal : Siapakah manusia yang tersengih-sengih itu?
Ramli : Aku pun kurang pasti, tetapi manusia itu selalunya memberikan bungkusan makanan kepada mangsa banjir. Tolong selamatkan nyawa atau angkut barang biarkan orang lain buat. Dia datang ke pusat pemindahan banjir, tersengih-sengih, bersalaman dengan beberapa orang, dan beri bungkusan makanan. Kemudian dia tersengih-sengih lagi di hadapan kamera televisyen.
Kamal : Itu perkara biasa. Memang saban tahun berlaku perkara itu. Sudah tiada rasa pelik lagi, sudah klise.
Ramli : Namun, mereka masih tersengih-sengih di sana dan berasa seronok.
Kamal : Sekurang-kurangnya mereka hulurkan bungkusan makanan itu. Ada juga perasaan simpati dan menunjukkan rasa ambil tahu. Ada satu perkara yang aku lebih pelik melihat dan mendengarnya.
Ramli : Apakah lagi perkara lain yang pelik itu?
Kamal : Ada sebuah pondok tol yang kerap berlaku kemalangan maut di situ. Boleh dikatakan setiap tahun berlaku, dan setiap kali berlaku ada seorang manusia bercakap-cakap di hadapan kamera televisyen. Manusia itu kata mahu robohkan pondok tol itu, tetapi tidak roboh-roboh. Tahun ini apabila ada kemalangan maut lagi, manusia itu kata mahu robohkan pondok tol itu, tetapi bukan sekarang.
Ramli : Bilakah pondok itu mahu dirobohkan?
Kamal : Kata manusia itu enam bulan lagi. Aku fikir dalam masa enam bulan itu orang yang mendengar sekarang ini akan lupa; akhirnya entah jadi roboh entah tidak. Agaknya nyawa siapa lagi yang bakal melayang dalam masa enam bulan lagi di pondok itu?
Ramli : Kasihan sungguh aku rasa apabila mengenangkan mereka yang terlibat dalam kemalangan itu. Sedih sungguh. Namun, ada satu lagi perkara pelik yang berlaku pada musim banjir begini.
Kamal : Apakah perkaranya?
Ramli : Manusia di hadapan kita itu dari tadi asyik melihat kita berbual-bual. Jika sama-sama tolong mangsa banjir ada juga faedahnya.
Kamal : Hmm…
Subhanallah…..
4 comments:
Semua perkara di atas sudah jatuh jadi perkara BIASA.
Emmm...
N3 yg sgt meruntun perasaan. Manusia mudah lupa atau sering berbuat sesuatu hanya kerana nama, kedudukan dan wang ringgit. Harap kita jadi insan yg dirahmati ILAHI sentiasa...
Semoga sejahtera & sihat, saudaraku.
Alahai, Dik Nin...
Ia menjadi LUAR BIASA apabila kita semua berlumba-lumba membantu mangsa malang itu.
Mudah-mudahan Kak Norza. Kita pun tidak mampu melakukan kesemuanya.
Post a Comment