Dulu-dulu, waktu masih di bangku sekolah, aku memang cukup gemar menonton perlumbaan motosikal besar, biar pun hanya melalui kaca televisyen. Guruku beritahu bahawa apa yang ditonton itu melambangkan diri kita yang sebenar. Beliau mengambil contoh dengan memberikan pertanyaan: Jika dalam perlumbaan itu ada peserta yang terjatuh dari motosikal, apakah reaksi kita? Jika kalian peminat sukan lumba motosikal, apakah perasaan dan reaksi kalian ketika itu?
Perasaan yang terbit tanpa dipaksa dan berselindung di balik topeng kepura-puraan itu melambangkan siapa diri kita sebenar. Mungkin ada yang berperasaan kagum melihat hero motornya terjatuh tetapi masih boleh bertahan tanpa patah riuk. Mungkin ada yang berkata, “Fuyooh… dia jatuh lagi!” kemudian diikuti kekekan ketawanya yang tidak sudah. Mungkin ada yang berasa sebak dan hampir mengeluarkan air mata, atau juga mungkin ada yang berasa ngeri teramat.
Bagi mengetahui diri kita yang sebenar, mudah sahaja. Jika kita berasa kagum melihat penunggang yang jatuh itu tidak mengalami sebarang kecederaan, bermakna dalam hidup sebenar kita dalam golongan pengagum. Apa-apa sahaja yang orang lain cuba, lalu tidak berjaya, dan kemudian bangkit semula, di situ kita akan berasa kagum. Kekaguman itu disebabkan melihat kecekalan hati manusia berani itu terus mencuba, lalu sedikit-sedikit mahu ditiru dalam kehidupan sendiri.
Jika kita berasa riang gembira dan merasa terhibur dengan jatuhnya pelumba motosikal itu, lalu berkata, “Ini yang aku nanti-nantikan. Rugi menonton perlumbaan ini jika tiada sesiapa yang terjatuh atau berlanggar. Lebih hebat lagi jika ada motosikal yang berdentum hancur lalu terbakar!”, bermakna dalam hidup ini kita memang suka melihat orang lain jatuh. Walaupun mungkin kita tidak bertepuk sorak sewaktu melihat kejatuhan orang lain, di dalam hati pasti terbit rasa gembira bukan kepalang. Lalu, di dalam hati berbisik-bisik, “Si polan sudah jatuh tergolek, terjelepok. Dia ingat dunia ini milik dia. Sekarang jatuh juga dia. Rasakan peritnya jatuh, rasakan!”
Jika kita terasa simpati atau ngeri sewaktu melihat jaguh-jaguh lumba itu terjatuh di litar, bermakna kita adalah seorang yang tidak kuat menempuh dugaan. Atau pun mungkin juga kita ini seorang yang mudah bersimpati atas kejatuhan, ketewasan mahu pun kehancuran hidup orang lain. Yang pastinya golongan seperti ini pemurah dengan air mata, sikit-sikit ditumpahkan air matanya. Ada masalah kecil-kecil pun tertumpah air matanya. Mungkin mereka yang berada dalam golongan ini tidak mempunyai hati sekeras waja.
Perlu kita ingat bahawa para pelumba itu telah dilatih pelbagai ilmu perlumbaan. Antara ilmu itu adalah ilmu menghadapi kejatuhan. Sungguh pun mereka jatuh bergolek dan menggelongsor, pasti tiada kecederaan. Jika ada mungkin sedikit sahaja; kecuali yang jatuhnya begitu dahsyat, mungkin ada yang lumpuh atau mati. Pengajaran yang dapat diambil daripada situasi itu adalah, sewaktu mahu menempuh sesuatu, maka persediaan dari semua sudut perlu dilakukan.
Benarkah firasat seperti ini? Dulu-dulu, aku tidak pernah ambil pusing tentang itu. Namun, apabila usia merangkak dewasa, terasa pula benarnya kata-kata guruku itu. Terasa amat. Bagiku, mereka yang suka menonton sesuatu perlumbaan, bermakna seseorang itu mempunyai naluri berlumba di dalam dirinya; berlumba bagi mencapai kejayaan. Ayuh, kita berlumba-lumba!
Alhamdulillah……
6 comments:
Salam,
Oh, saya suka entri ini! Amat dekat di hati. Saya juga suka menonton perlumbaan motor besar di tv pada zaman sekolah dulu. Kini saya suka menonton lumba kereta F1:) tapi tidak pernah ke litar Sepang. [mama saya sering menegur, "kamu ini lelaki ke perempuan?" Saya kata tetap saja perempuan :)]
Perempuan/lelaki perlu saja berlumba. Bukan begitu Mya?
Mungkin ada betulnya tu. Tapi tak payah tengok acara lumba pun memang macam ni lah aku, kang. Tak pandai berpura-pura, tak ada topeng-topeng.
Teringat zaman saya tersangat kecil dahulu. Pemuja Eddie Lawson. Saya seronok melihat aksi di selekoh :D
Setiap hujung minggu, di depan kawasan perumahan saya, ada perlumbaan juga. Perlumbaan motorsikal nyamuk. Ah! Mat Rempit, tidak sayang sungguh pada nyawa!
BR,
Salam kembali. Ya, memang kita dalam perlumbaan. Waktu kecil dahulu perempuan sahaja yang dapat nombor satu setiap kali keputusan peperiksaan diumumkan. Waktu dewasa, perempuan juga yang banyak masuk universiti.
Dik Nin,
Topeng perlu ada; bezanya tebal atau nipis, sikit atau banyak. Yang penting tidak perlu berpura-pura.
JP,
Kita memang sezaman. Selain Eddie Lawson, Carl Lewis pun hebat juga bagi arena olahraga. Seorang lagi, Michael Jackson; itu zaman kita.
Mahu berlumba dengan saya? Jom!
Ustazah sudah seribu batu berlari di hadapan; mana mungkin terkejar oleh kudratku yang lemah ini. Hmm...
Post a Comment