05 October 2007

PELITA DAN MERCUN



Hari Raya dulu-dulu, dua objek yang mesti ada ialah pelita dan mercun. Malah, hingga ke hari ini kedua-dua objek ini masih mewarnai Hari Raya zaman semakin canggih ini. Waktu dulu-dulu itu, bekalan elektrik pun belum sampai ke kampung-kampung terpencil. Kegelapan adalah teman paling setia malam dingin mencengkam di kampung-kampung. Tiba sahaja bulan Ramadan, kegelapan itu diusir oleh cahaya dari lampu gasolin yang diisi minyak tanah sebagai bahan bakarnya. Bercahaya ruang rumah seperti mentol menerangi gelap pekat, sehingga melimpah cahaya itu ke luar rumah.

Cahaya dari lampu gasolin itu disambung hingga ke tepi jalan besar oleh pelita-pelita yang bersusun dari halaman rumah. Sejak sebelum maghrib lagi pelita-pelita itu dinyalakan. Ia digantung pada sebatang kayu yang berpaku pada hujungnya. Ada yang diletakkan sabut pada hujung kayu itu, lalu pelita diletakkan di atasnya. Ada juga pelita yang digantung pada pokok kelapa yang berpaku juga. Waktu itu jika mahu menyakat kawan-kawan lain, takutkan mereka dengan kehadiran hantu pelita. Lebih-lebih lagi sewaktu balik dari surau selepas bersolat tarawih. Dua lagi hantu yang popular diperkatakan sewaktu meredah malam menuju ke rumah ialah hantu kelambu dan hantu galah. Manakala hantu yang berada di dalam carta paling popular ialah hantu pocong. Semua nama hantu yang diperkatakan itu pasti meremangkan bulu roma mendengarnya. Walhal, tidak pernah terserempak pun dengan hantu-hantu itu, hanya dipermomokkan.

Kehadiran pelita semakin banyak apabila menjelang sepuluh hari terakhir Ramadan. Konon ceritanya daripada orang-orang tua, cahaya pelita itu dimitoskan sebagai penunjuk jalan kepada malaikat ke rumah orang yang mahu bangun malam mengabdi diri kepada Allah. Dari mana asal cerita dan siapa pencetusnya, hanya Allah Yang Maha Tahu.

Mercun juga, usah disangsikan kehadirannya. Jika Ramadan dan Hari Raya tanpa mercun seperti tidak sah. Pelbagai nama dan jenisnya mercun ini. Tukarannya sudah pasti wang ringgit yang menjadikan para tauke kaya-raya. Dulu-dulu jarang terdengar berita orang patah tangan, buta mata, dan kemalangan akibat mercun itu. Namun, semakin zaman berubah, manusia makin bijak, maka selepas itu banyak kejadian kecederaan parah terjadi akibat bermain mercun. Kebanyakan mereka ialah yang suka berkreatif. Berkreatif tidak pada tempatnya.

Orang Melayu jika bermain mercun mengalahkan orang Cina yang menjadi pembuat mercun. Banyak mercun yang diimport dari negara China, tetapi yang ramai bermain mercun ialah orang Melayu. Sewaktu perayaan Tahun Baru Cina, mercun dalam kepercayaan orang Cina dibakar bagi menghalau hantu. Namun, bagi orang Melayu, mercun menjadi pemeriah suasana. Disebabkan mahu terlebih meriah, maka banyak kemalangan akibat mercun berlaku.

Akibat teruknya penangan mercun ini, maka pengharamannya masih berkuatkuasa hingga ke hari ini. Cuma bunga api yang tidak memudaratkan yang masih boleh dijual dan dibeli.

Sejenak apabila difikirkan, orang Melayu ini memang pandai mengadaptasi. Bukankah pelita itu adaptasi daripada perayaan Deepavali, dan mercun itu adaptasi daripada perayaan Tahun Baru Cina? Soalnya, adakah adaptasi itu perlu dan dibolehkan dalam Islam?

Mungkin bagi yang tidak mengetahui dan menyedari adanya adaptasi ini, mereka sekadar suka-suka sahaja sewaktu memasang pelita itu. Mereka juga seronok-seronok sahaja sewaktu membakar mercun dan bunga api. Namun, hakikat di sebaliknya harus difahami, diteliti dan difikirkan kembali. Apabila difikir dan direnungkan kembali, seolah-olah Hari Raya ini sebagai meraikan sekali perayaan cahaya, dan menghalau hantu-hantu. Semoga tidak sedemikian itu.


Subhanallah…….

6 comments:

Bunga Rampai said...

Salam,

Masa kecik-kecik dulu, 10 hari terakhir Ramadhan adalah hari membuka pintu dan tingkap rumah sepanjang malam. Untuk memudahkan para malaikat memasuki rumah dan memberi berkat :) Kami tidak pasang pelita.

Ayat-ayat terakhir itu - Malaysia boleh kongsi raya :))

Selamat berpuasa.

ez said...

Salam Ramadhan Salam Syawal,
Malam raya di kampung, sayup-sayup kedengaran dentuman dan gegaran meriam buluh.

Latiptalib said...

Assalamualaikum,

Di kampung saya pada malam raya masih kedengaran bunyi meriam buluh. Tapi mereka tak guna buluh lagi tapi lebih canggih. Meriam tanah. Dentumannya lebih kuat dsari meriam buluh.

Jemput datang ke Jelebu raya ni.

MYA MARJA said...

Bunga Rampai,
Salam kembali.
Yang peliknya, 10 hari terakhir itu yang digunakan untuk menyibukkan diri di dapur. Selamat berpuasa kembali.

Kak Ez,
Salam juga kembali.
Meriam buluh tidak menggegar sangat berbanding meriam batang kelapa. Seluruh kampung bergegar.

Pak Latip,
Alaikumussalam.
Malu pula hendak bertandang ke Jelebu (saya ni pemalu.. :-P ). Meriam tanah di kampung saya kira nombor dua. Nombor satu sudah pasti meriam batang kelapa, siap dengan tayar seperti kereta kuda; hendak pergi berperang lagaknya.

Rasha_rz said...

maka ramailah yang putus jari dan buta mata. ibu menangisi kemalangan yang bagaikan sengaja dirancang si ayah yang mahu melihat anak2nya gembira menjelang syawal-pembekal setia bahan api berbahaya itu meski tanpa restu ibu...

MYA MARJA said...

Kak Ila,

Kasihan...

Namun, budak-budak sekarang pun ada pembekal juga, kawan-kawan ramai. Hulur sahaja duit, dapatlah barang. Bermain mercun pun sembunyi-sembunyi, takut emak ayah nampak. Itu yang menambah jumlah si buta mata dan putus jari.

Kasihan...