21 May 2007

MENGHITUNG KENANGAN

Amat perit terasa apabila sesekali dihimpit kenangan. Saat kenangan tiba, diri dipaksa untuk menghitungnya satu persatu. Kenangan yang bersarang di fikiran banyak yang hitam dan kelabu warnanya. Saat indah dan manis sewaktu mempunyai ibu adalah kenangan agung yang tidak terlawan dek kenangan lain.

Terkadang terasa begitu dalam kerinduan ini kepada insan bergelar ibu. Ingatan kepadanya berpusar dan berputar di ruang fikir. Terbayang-bayang kembali jerih-perihnya seorang wanita yang bergelar ibu tunggal mencari rezeki sehari-harian. Terbayang-bayang sewaktu tangannya membelai lembut mesra rambutku, lalu menyuapiku dengan nasi berlaukkan kicap cuma. Sesekali pandangan kosong dilemparkannya ke dinding dan atap rumah yang berlubang di sana-sini.

“Atap rumah ini sudah banyak yang bocor. Nanti ibu tebang pokok nipah, ambil daunnya. Di bawah rumah ada sedikit kayu bengkawan. Nanti anak boleh tolong ibu buat atap, ya,” kata ibu tunggal yang telah lama melalui hidup penuh onak duri itu.

Anak kecil yang belum mengerti akan makna kehidupan itu hanya mengangguk-anggukkan kepala. Dia hanya ketawa apabila melihat ibunya tersenyum.

Hingga akhir hidupnya, ibuku melaluinya dengan kepayahan. Penyakit misteri yang ditanggung memaksanya berbaring berbulan-bulan lamanya. Disebabkan terlalu lama berbaring, bahagian belakang badan ibuku bernanah. Malah, sehingga beberapa bulan sebelum kepergiannya ke rahmat Tuhan, suara ibuku ditarik kembali oleh yang Maha Memberi. Butir-butir bicaranya sudah tidak kufahami lagi.

Pada kesempatan detik-detik akhir bersamanya itu, sempat jua kusuapi ibu dengan bubur nasi dan air kosong menggunakan sudu kecil, sebagaimana yang pernah dia lakukan terhadapku sewaktu kecil dahulu. Kuurut perlahan-lahan kakinya yang sudah tidak mampu digerakkannya lagi. Sebelah tangannya yang mengerekot turut kupegang dan kuurut. Satu persatu jari-jarinya cuba kuluruskan, tetapi tiada tindak balas; sudah kehilangan fungsi. Jari jemari itu yang pernah suatu ketika dahulu mengusapi rambutku dengan penuh kasih dan sayang.

Kini, apabila saat-saat getir kulalui dalam hidup, daku akan sentiasa mengenang keperitan yang pernah dilalui ibuku. Pasti perit dan getir yang kulalui menjadi tidak seberapa berbanding kepayahan yang pernah dilalui ibu.

Selagi diri masih dikurniai akal dan ingatan, pasti ingatan itu akan terus menghimpit. Sehingga saat ini, hanya doa, sedekah al Fatihah, al Ikhlas dan Yaasin kupohonkan kepada Tuhan agar sampai kepadanya, ibuku. Itu yang termampu kulakukan buatmu ibu.



Subhanallah…

11 comments:

Anonymous said...

Al Fatihah...

“Ya Allah, ampunkanlah dosaku, ampunkan dosa ibu bapaku dan rahmatilah mereka dengan kasih sayang-Mu, sebagaimana mereka menyayangiku ketika diriku masih kecil”.

ez

Latiptalib said...

Assalamualaikum

Apa khabar orang Jempol?

Achik_Sufi said...

moga akan bersama orang yang soleh onsyaallah...

Anonymous said...

Saudara Mya,

Saya menangis ketika membaca coretan saudara, sungguh. Saya lantas teringat ibu saya di kampung. Ibu berusia 61 dan bapak 71. Rambut sudah beruban ... saya jadi begitu rindu pada mereka walau hampir setiap hari saya menghubungi mereka di kampung.

Moga saya mampu membahagiakan mereka ..

MYA MARJA said...

Pn. Ez,
Begitulah doa yang terlafaz setiap kali selepas solat.. Amiin.

Pak Latip,
Alaikumussalam.. Orang Jempol sihat alhamdulillah. Saya sedang melalui jalan yang Pak Latip tempuhi, umur selewat ini baharu berjinak-jinak dalam alam penulisan..

Sdr. Achik Sufi,
Mudah-mudahan.. yang pergi tetap pergi, yang tinggal teruskan hidup.

Sr. Mal,
Kenangan lalu.. berat bahunya memikul, menjadi ringan segala beban pabila terkenangnya. Kunjungan seorang anak adalah saat berharga yang sangat dinanti-nantikan orang tua, walau sebentar cuma berbanding wang ringgit yang dihulur.

Anonymous said...

Tulisanmu ini mencarik hatiku.

~zalisa maz~

Bunga Rampai said...

Salam,

Terima kasih menitiskan air mata saya.

Al-Fatihah.

Sastri said...

Huhuhu, sedih betul... kangen karo mak di kpg... Al-Fatihah buat arwah... semoga rohnya aman di sana...

blackpurple @ jowopinter said...

Retrospektif itu amat menyentuh kalbu...

Semoga roh ibumu aman, sentiasa diberkati dan dirahmati Allah swt di sana...

Al-Fatihah.

Ku Keng said...

Ibu sungguh menyentuh hati kecil sesiapa jua, kecuali dua anak yang diberitakan kelmarin menghantar ibunya ke rumah orang-orang tua bukan Islam. Sungguh sedih dan amat zalim perbuatan.

Bagi saya juga ibu tiada bandingan dalam jasa-jasa yang diberinya.

Ibu saya tetap ibu meskipun di pandang kolot dan kekampungan oleh orang lain. Dan amat sedih bila mengingatkan ibu saya mengahadapi kesemua 'penghinaan' ini sewaktu hayatnya.

Alfatihah untuk semua ibu yang sudah dahulu pergi.

Mersik said...

Sementara ada insan bergelar ibu diantara kita, sama2 lah menghulur ikhsan dan menjaga hatinya. Moga2 kasih ibu akan membawa ke syurga.

(Teringin hendak bermimpikan ibu.. Ah! sudah lama tak kutatap wajahmu, sejak kau pergi dulu lagi.. )