Manusia tidak akan terlepas daripada membuat pilihan, sama ada pilihan membuat kebaikan dan ketaatan atau pun dengan membuat kemaksiatan. Jika kita sudah memilih salah satu antara dua, perlu difikirkan beberapa perkara.
Pertama: Perbuatan yang kita pilih untuk membuat kebaikan dan ketaatan atau pun kemaksiatan. Dalam menghadapi perkara ini, kita memerlukan kesabaran; kerana sudah menjadi tabiat manusia untuk melakukan kemaksiatan, lalu menjauhkan kebaikan dan ketaatan.
Dalam hal solat contohnya, manusia lebih cenderung kepada berehat-rehat dan bermalas-malas. Lebih-lebih lagi jika hati manusia keras, dosa yang menimbun, terlalu mengikut hawa nafsu, dan sering bergaul dengan orang-orang yang lalai, seseorang itu akan turut melalaikan solat. Manusia seperti ini akan melakukan solat dengan berat hati, tidak menghadirkan hati, lalai dan ingin segera menyelesaikan solatnya.
Amalan orang yang ikhlas hanya mengharapkan keredhaan Allah. Dalam memenuhi tuntutan amal ibadahnya, kesabaran amat diperlukan untuk melaksanakan semua rukun ibadah. Perkara yang lebih penting adalah kesabaran dalam menghadirkan Allah ke dalam fikiran dan hati, dan menjaga supaya perbuatan seharian tidak menjauhkannya daripada mengingati Allah.
Kedua: Kesabaran bertahan daripada sifat-sifat tercela seperti riak, bangga diri, takabur dan sombong kerana amal ibadah yang dilaksanakan. Sifat-sifat ini lebih merbahaya daripada amalan buruk dan maksiat biasa yang lain.
Ketiga: Sabar dalam menyembunyikan amal ibadah daripada pengetahuan orang lain. Dengan menyimpan kerahsiaan ini, terpelihara diri daripada sifat riak atau pun menunjuk-nunjuk, sedangkan segala amal ibadah itu sememangnya dilakukan hanya kerana Allah. Sekali gus akan menghindarkan diri daripada perasaan berbangga-bangga dengan amal ibadah sendiri.
Allah jua yang Maha Mengetahui.
~Mya Marja
6 APRIL 2007.
5 comments:
Subhanallah, manusia termasuk diriku memang mudah terlupa.
Terima kasih, kang.
Alhamdulillah Sdr.,
Teruskan dakwah. Ini saja bekalan yang kekal.
Salam,
Terima kasih nukilan ini. Menyegarkan hati.
Salam kenal, salam ukhuwah di alam maya :)
Allah jua yang Maha Mengetahui
Benar. Sesungguhnya.
Ya, benar sahabat-sahabatku.
Ketika kita asyik dengan dunia, terlupa seketika tentang diri sendiri. Itulah diri ini yang sering lupa..
Kadang-kadang solat pun kelam-kabut. Apa lagi yang tinggal...?
Post a Comment