Setelah daku mendapat arahan bertukar daripada Pejabat Pelajaran Daerah ke sekolah lain yang jaraknya dari rumah tumpanganku lebih tiga puluh kilometer ke pedalaman, baharulah daku menyedari akan makna setia persahabatan antara kami guru-guru di sekolah itu. Khususnya kepada guru-guru lama di sekolah itu yang sama-sama berjuang memartabatkan ilmu pada tempatnya.
Bagiku, arahan bertukar itu kuterima sahaja tanpa apa-apa bantahan. Daku terima dengan redha. Namun, yang ingin daku bantah adalah cara arahan itu disampaikan dan cara daku dipindahkan. Di sekolah lain, sebelum seseorang guru itu ditukarkan, diadakan dahulu mesyuarat khas. Mula-mula dikeluarkan tawaran dahulu, jika tiada yang berminat untuk bertukar, maka akan dipilih dari kalangan yang sepatutnya bertukar. Contohnya guru-guru bermasalah, guru baharu, guru keperluan di sekolah lain, guru lebihan opsyen, guru yang jasa bakti kurang dan seterusnya.
Namun, surat yang daku terima bersama dengan seorang lagi guru itu menimbulkan persoalan yang bukan main-main. Cara surat itu diberi juga kulihat terkocoh-kocoh, tiada langsung melalui perbincangan awal. Tarikh surat itu ditulis pula menyamai tarikh mendaftar ke sekolah baharu! Walhal surat itu diterima seminggu kemudian. Bukankah ada sesuatu yang tidak kena? Wajarkah seorang ketua menyerahkan surat begitu sebegitu? Tanpa disusuli oleh rasa kehilangan ataupun kata-kata penyejuk jiwa dan pembakar semangat kepada anak buahnya. Bukan setahun dua daku berkhidmat di situ, tetapi sudah berbelas tahun. Budi dan jasaku, perlukah daku nyatakan di sini?
Saat daku berkira-kira untuk berpindah, rakan-rakan seperjuangan pula yang berasa sedih. Mereka pula yang bersungguh-sungguh mahu menentang arahan itu dan cuba mempertahankan diri ini agar kekal di sekolah itu. Ah, daku semakin mengenali erti persahabatan ini!
Subhanallah…
3 comments:
Assalamualaikum,
Sabarlah sahajalah. Mungkin ada hikmah di sebalik perpindahan itu. Mungkin lepas itu boleh naik pangkat jadi guru kanan atau guru besar. Siapa tahu?
Kang Mya, perkara yang terjadi hampir saja serupa dengan yang daku alami minggu lalu. Sikit-sikit daku mengerti dan memahami. Hikmah di sebaliknya sedang menanti. Allah maha mengetahui.
InyaAllah pasti berSUA.
Terima kasih sahabat-sahabatku.
Ini hal kecil sahaja. (kadang kala kecil di mata orang, tetapi besar di hati kita). Namun, rakan-rakan di sekolah itu benar-benar mententeramkan..!
Terima kasih jua rakan-rakan seperjuanganku.
Post a Comment