05 March 2007

MARAH DAN MAAF

Adik minta maaf pasal semalam.

Abang sudah maafkan segala kesalahan adik hari ini, semalam dan akan datang.

Terharunya adik mendengar. Terima kasih. Semalam adik memang tidak dapat kawal kemarahan. Kalau penat sahaja, adik mesti hendak marah-marah.

Agaknya adik seorang sahaja yang penat, orang lain tidak penat.

Adik minta maaf ini. Lain kali tidak buat lagi.

Berapa kali mahu minta maaf? Dari dahulu setiap kali minta maaf, ayat yang sama juga yang abang beri: Abang sudah maafkan segala kesalahan adik hari ini, semalam dan akan datang.

Kasihan anak-anak kita yang comel. Sudahlah dimarahi, dapat pula hadiah cubitan geram daripada adik. Abang pun terkena tempiasnya, kasihan abang. Akan tetapi abang seorang yang penyabar, kagum adik. Abang tidak pernah merungut atau membalas kemarahan adik.

Adik pun tahu bahawa marah itu daripada syaitan. Kecuali marah kerana Allah, sebab lambat solat atau tidak solat umpamanya. Itu pun ada cara melepaskan marah itu. Bukan macam adik semalam itu.

Ya, adik ingat!

Selepas ini kalau terasa di hati hendak marah, ikut contoh Rasulullah. Kalau marah sewaktu berdiri, duduk. Kalau marah sewaktu duduk, baring. Kalau marah lagi, ambil wuduk, solat sunat dua rakaat. Istighfar banyak-banyak.

Ya, adik akan ingat! Akan tetapi semalam itu memang adik penat sangat. Biasalah kalau penat, adik sering kali tidak dapat mengawal perasaan marah. Anak-anak pula suka hati mereka sahaja sepah-sepahkan barang-barang mainan. Semak rumah ini dibuatnya. Kasihan, abang pun turut adik bebel dan leter.

Anak-anak kecil memang begitulah sifatnya. Kalau adik marah-marah semalam, esok lusa mereka tidak membuat sepah lagi? Jadi, marah atau tidak, sama sahaja. Bukankah lebih baik dinasihati elok-elok anak-anak itu dengan bahasa indah mulus.

Ya, adik akan ingat!

Adik patut bersyukur dapat suami seperti abang ini. Kalau orang lain, agaknya sudah lama adik dimaki dan dihamun. Atau paling kurang, sikap adik yang marah-marah itu dibalas balik dengan kata-kata memedihkan. Abang ini tidaklah sampai meninggalkan rumah.

Alah, isteri khalifah pun berleter juga, biasalah perempuan! Sewaktu dua orang sahabat hendak mengadu pasal isteri mereka kepada khalifah, tiba-tiba mereka terdengar khalifah dileteri isterinya. Tidak jadi orang itu memberi salam dan membuat aduan. Ya lah, isteri seorang khalifah pun berleter, inikan pula isteri orang biasa-biasa. Abang mesti bersabar.

Pandai pula mengungkap kisah seperti itu. Kisah orang-orang sabar bagaimana pula?


Perempuan 28 leteren = Lelaki 1 leteran! Akan tetapi jarang sekali lelaki berleter.

Adakah lagi lelaki sesabar watak 'abang' sebagaimana di dalam cerita di atas?

Adakah lagi wanita yang sering kali hilang rasa syukurnya mendapat lelaki seperti watak 'abang' di atas?

Alhamdulillah…

No comments: