18 October 2012

SENJAKALA

 
Senja berlabuh
nelayan berpergian
memukat nasib 

12 March 2012

CERITA DOKTOR

i. Bangga di hati ini apabila ada anak murid yang pernah diajar telah menjadi doktor kini. Dulu, sewaktu berada di Tahun 4, dan usianya baru 10 tahun, dia hanya seorang budak yang tergagap-gagap apabila menyusun kata. Malah, pencapaian pelajarannya hanya sederhana. Dia belajar hingga ke Rusia untuk mencapai cita-citanya.

ii. Bangga juga di hati ini apabila mendapat tahu anak seorang sahabatku berjaya belajar hingga ke Ireland dalam bidang perubatan. Ayahnya hanya seorang pembantu am rendah, manakala ibunya hanya seorang suri rumah sepenuh masa. Biayanya adalah biasiswa penuh, sekitar RM700, 000. Subhanallah! Mahu jadi doktor zaman ini, begitu besar belanjanya. Bukan calang-calang orang boleh capai ke tahap itu.

iii. Dinihari ini, baru balik dari hospital, unit kecemasan. Tiga jam setengah menunggu, tanpa nombor giliran, barulah nama dipanggil. Hospital ini ada yang menggelarnya hospital maut. Mana tidaknya, berjam-jam menunggu baru dapat giliran jumpa doktor. Kalau di hospital Kuala Pilah atau Seremban, mungkin tidak selama ini tempoh menunggunya. Beberapa orang pesakit yang bosan menunggu dan mungkin kehilangan sabar, balik tangan kosong. Kasihan, susah-payah datang tetapi balik begitu sahaja tanpa sempat berjumpa doktor.

iv. Aku lantas terfikir pasal sejumlah wang yang besar bagi biaya pengajian seseorang untuk bergelar doktor. Atas sebab itu mungkin bilangan doktor di Malaysia masih di tahap kritikal kekurangannya. Sebab itulah ada pesakit yang menunggu hingga berjam-jam lamanya. Mungkinlah. Yang hairannya di hospital atau klinik swasta berkali ganda cekap dan pantasnya mereka menguruskan pesakit.

10 March 2012

SIFAT MAHMUDAH

Terkesan bait-bait nasyid ini di hati.


12 February 2012

4 JENIS LELAKI YANG DITARIK PEREMPUAN KE NERAKA

Di akhirat, wanita akan menarik empat jenis lelaki bersamanya ke dalam neraka. Artikel ini bukan untuk memperkecilkan wanita tetapi sebaliknya supaya kaum lelaki memainkan peranannya dengan hak dan saksama berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah serta berwaspada akan tanggungjawab yang dipikul..

1. Ayahnya

Apabila seseorang yang bergelar ayah tidak mempedulikan anak-anak perempuannya di dunia. Dia tidak memberikan segala keperluan agama seperti mengajar solat, mengaji & sebagainya. Dia membiarkan anak-anak perempuannya tidak menutup aurat…..tidak cukup kalau dengan hanya memberi kemewahan dunia sahaja maka dia akan ditarik ke neraka oleh anaknya.

2. Suaminya

Apabila si suami tidak memperdulikan tindak tanduk isterinya. Bergaul bebas di pejabat, memperhiaskan diri bukan untuk suami tapi untuk pandangan kaum lelaki yang bukan muhrim apabila suami mendiam diri walaupun dia seorang alim seperti solat tidak bertangguh, puasa tidak tinggal maka dia akan turut ditarik oleh isterinya ke neraka.

3. Abang-abangnya

Apabila ayahnya sudah tiada, tanggungjawab menjaga maruah wanita jatuh ke bahu abang-abangnya…..jikalau mereka hanya mementing keluarganya sahaja dan adik perempuannya dibiar melencong dari ajaran ISLAM …tunggulah tarikan adiknya ke neraka kelak.

4. Anak Lelakinya

Apabila seorang anak tidak menasihati seorang ibu perihal kelakuan yang haram dari Islam, bila ibu membuat kemungkaran pengumpat, mengata & sebagainya, maka anak itu akan disoal dan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Nantikan tarikan ibunya ke neraka.

Maka kita lihat betapa hebatnya tarikan wanita bukan sahaja di dunia malah di akhirat pun tarikannya begitu hebat, maka kaum lelaki yang bergelar ayah/suami/abang atau anak harus memainkan peranan masing-masing.

Maksud Firman Allah SWT:-

“Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” (At Tahrim : 6)

Harga seseorang muslim adalah sangat berharga. ALLAH SWT nilaikan seseorang muslim dengan SYURGA, semua kaum muslimin yakni yang mengucap kalimah tauhid dijamin masuk syurga dengan itu janganlah kita membuang atau tidak mengendah janji dan peluang yang ALLAH SWT berikan pada kita…wallahua’lam.

Sumber:

http://ustazazhar.net

11 Feb 2012

31 December 2011

HAIKU BUNGA API

langit terbuka

memercik bunga api

pembuka tahun


Agak-agaknya berapakah harga percikan bunga api yang bertaburan di langit terbuka menyambut tahun baru 2012 ini? Berapa jua harganya tidak menjadi apa-apa persoalan pun bagi yang kaya dan berada. Apatah lagi andai ia dibiaya oleh syarikat besar dan berjuta wang ringgitnya. Apakah pula nilainya percikan bunga-bunga api itu kepada rakyat Malaysia umumnya? Nilai yang terlihat, hanyalah keseronokan semata-mata.

25 December 2011

SENTAK DINGIN DISEMBER

HAIKU PELEPAH MUDA

pelepah muda

sentak dingin Disember

gugur ke bumi

Salam semua.

Disember yang dingin. Hujan masih berterusan. Kadang-kadang lebat, kadang-kadang renyai. Tetapi berterusan. Kadang-kadang dinginnya sampai ke tulang. Aku dikejutkan dengan berita kematian sahabatku Isnin lalu, setelah mengalami jangkitan kuman pada paru-paru dan merebak ke tempat lain. Bermula dengan demam, muntah dan pengsan. Kemudian dikejarkan ke hospital. Tiga hari sahaja, kemudian kembali dia ke rahmatullah. Selang sebuah rumah sahaja rumah sahabatku itu dengan rumahku. Dalam usia yang masih muda, baharu awal empat puluhan, sudah dijemput pulang. Aku amat terkejut dengan berita kepulangannya ini. Sempat menziarah jenazahnya di Bandar Sri Sendayan.

Sepulangnya dari ziarah, petang itu aku mendapat kiriman berita seorang sahabat terlibat dalam kemalangan jalan raya. Dia baharu pulang dari menduduki peperiksaan pengajian jarak jauhnya, memandu Kelisa. Bertembung dengan Hilux yang mahu memotong kenderaan dari arah hadapan. Dirempuh pula dengan kereta dari arah belakang. Dia dikejarkan ke Hospital Kuala Pilah. Kemudian dipindahkan ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban. Pastinya parah, sehingga berpindah hospital. Koma. Ketika menziarahinya di hospital, terasa berat amat derita yang ditanggungnya. Simpati menjalar. Baharu petang tadi, setelah enam hari bertarung nyawa, kembali dia ke rahmatullah. Sahabatku dijemput pulang. Usianya baharu lewat tiga puluhan.

Kedua-dua pemergian dalam jarak enam hari sahaja. Kedua-duanya sahabatku. Kedua-duanya guru dan satu kariah denganku. Kedua-duanya masih muda pada perkiraanku. Sayu amat hatiku mengenangkan. Lalu, kulihat ke dalam diri, dan bertanya-tanya sendiri; apakah aku sudah bersedia? Lalu, terkenang kembali pada pelepah kelapa. Tidak semestinya pelepah yang tua gugur dahulu. Sampai saat yang tertulis, pelepah muda akan gugur jua.

14 December 2011

HAIKU KINCIR AIR

di kincir air

kesultanan Melaka

merenung zaman