Berpeluang menyertai bengkel penulisan merupakan anugerah indah dan pengalaman mengujakan. Lebih-lebih lagi apabila dibimbing terus penulis tersohor dan ada nama pastinya. Aku yang baru mahu berjinak-jinak ini punya tiga kasad apabila menyertai bengkel itu. Yang pertama sudah pastinya mahu menambah ilmu dan pengalaman. Yang keduanya mahu menyedut aura serta semangat penulis lebih dahulu makan garam dan lebih prolifik dalam berkarya. Yang ketiga, yang amat penting bagiku adalah mahu menimbulkan keyakinan dan semangat dalam diri bahawa diri sendiri juga mampu menghasilkan karya yang mampu dikongsi khalayak; yang sudah pasti kesemua ini dikasadkan keranaNya jua.
Dalam bengkel seperti itu, pengalaman orang lama amat diperlukan. Orang lama tidak semestinya lebih tua dari segi usia, yang kebetulan pembimbing-pembimbing di situ sememangnya lebih muda daripada diriku. Bagiku, mereka lebih bertuah kerana menemui jalan ini terlebih dahulu. Ada juga peserta yang telah memasuki usia pencen, dan karyanya juga sering tersiar. Amat kagum aku dengan semangatnya menyertai bengkel itu. Katanya, bengkel seperti itu bukan untuk penulis yang baharu belajar sahaja. Penulis lama juga seharusnya turun padang, berjemaah. Di sinilah tempat kita berkongsi pengalaman. Sekiranya kita punya lebih pengalaman dan ilmu, di sini tempatnya untuk kita perturunkan kepada generasi pelapis, bukannya untuk diri sendiri sahaja.
Aku amat bertuah kerana mendapat bimbingan daripada penulis berlatar pendidikan agama. Jadi, saranan mereka, karya juga harus berteras pada agama, iaitu karya yang mengangkat akidah serta kesyumulan Islam sebagai tema. Sebagaimana kata pembimbing bengkel, kita menulis perlu betulkan kasad; sama ada mahu nama gah, atau mahu duit ringgit, atau mahu mendapat keredaanNya. Atau juga bagiku diambil kesemuanya, asal sahaja tidak sampai menimbulkan riak di hati. Cuma, bab inginkan nama gah itu rasanya tidak perlu. Apa ada pada nama; cukuplah hanya memperkenalkan nama, dan nama itu diingati kerana karyanya. Yang penting karya dapat membangun dan mendidik jiwa, bukan menyegarkan khayal dan keseronokan semata-mata.
Setiap peserta bengkel diberi peluang mengungkapkan kata-kata akhir sebelum bengkel melabuhkan tirai. Tanpa susunan ayat yang betul, jauh sekali indah berbunga, aku sempat menitipkan pesan: Berbakat sebesar mana pun kita, berminat setinggi mana pun kita, sekiranya tidak disertai dengan disiplin yang tinggi dalam berkarya, kita tidak akan ke mana-mana. Sebenarnya, aku titipkan ayat ini untuk diriku sendiri; yang mana antara tujuan terpenting aku datang berbengkel adalah bagi menimbulkan keyakinan pada diri sendiri bahawa diri ini juga mampu menghasilkan karya seperti mereka yang lain.
Semoga ilmu yang ditimba dan pengalaman sehari berbengkel ini menjadi aset kepada istiqamahnya diri dalam berkarya. Jangan pula nantinya hanya menjadi tangisan alpa di daerah terpinggir.
Alhamdulillah…
Alam saujana terhampar indah luas, menggamit saujana jiwa berbicara pada segala rupa. Bicaralah yang mulus daripada jiwa yang tulus...
18 November 2009
17 November 2009
SUKAN MINI
Kejohanan olahraga lazimnya berlaku pada awal tahun, atau pada semester pertama persekolahan. Begitu yang berlaku di mana-mana sekolah pun. Manakala hujung tahun dikhaskan bagi peperiksaan akhir tahun, majlis hari anugerah cemerlang dan perkhemahan unit beruniform, di samping perkhemahan Tahun 6. Akan tetapi, sekolah ini mengelolakan acara olahraga pada akhir tahun. Kiranya sewaktu guru-guru sedang sibuk amat dengan tugas memeriksa kertas peperiksaan akhir tahun dan bersiap sedia bagi majlis hari anugerah cemerlang.
Awalnya dulu memang mahu diadakan pada awal tahun. Akan tetapi bajetnya tidak mencapai tahap yang sepatutnya ada bagi sesebuah kejohanan dijalankan. Mana mungkin bajetnya cukup sekiranya ibu bapa tidak membayar yuran PIBG kepada pihak sekolah? Yuran itu nantinya yang membiayai kejohanan. Lalu, mana mungkin pula mereka (sebahagiannya) mahu membayar yuran, padahal dulu ada menteri kata tidak bayar pun tidak mengapa.
Maka, kejohanan yang terlajak tarikhnya itu pun dijalankan juga. Disebabkan bajet yang amat ‘ciput’, maka ditukar nama kejohanan itu menjadi sukan mini. Ibu bapa yang menyaksikan sukan itu pun hanya segelintir daripada sejumlah ibu bapa yang sepatutnya. Tiadalah acara tarik tali, yang pada kebiasaannya menjadi simbol kemeriahan acara sukan seperti ini. Tiada juga acara untuk ibu bapa atau pegawai sukan. Perasminya juga hanya orang dalaman. Begitu pun juga, sukan tetap berjalan lancar, hasil komited para pegawai sukan yang terdiri daripada guru-guru.

Subscribe to:
Posts (Atom)